Sebelum ini nama penyanyi Daiyan Trisha, atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, menjadi sebutan apabila ramai yang menegur mengenai batas pergaulannya dengan Henry Moodie ketika melakukan trend “Is This Illegal”. Dan kali ini pula Daiyan muncul membuka mulut, memberi respons terhadap isu penampilan yang terlalu seksi.
Memetik kenyataan daripada beberapa laporan, Daiyan mengakui dia sudah terbiasa dengan kecaman yang diberikan oleh orang ramai mengenai pemakaiannya yang agak seksi walaupun sudah beberapa kali menunaikan ibadah umrah.
“Komen sebegitu adalah sesuatu yang saya kena hadap. Urusan sudah pergi umrah atau belum, saya fikir itu hubungan peribadi saya dan Allah. Bab itu saya tidak boleh komen banyak.”
Tambah Daiyan, dia enggan untuk mengulas panjang mengenai beberapa teguran sesetengah orang mengenai pemakaiannya. Pada masa yang sama, dia akui teguran tersebut membuatkan dia sentiasa ini memperbaiki diri di samping cuba menjadi diri sendiri.
“Saya juga tak nak komen bila ramai yang tegur soal pemakaian saya. Saya cuma menjadi diri saya dan akan sentiasa cuba untuk berubah bila sampai masa yang tepat. Setiap orang ada pendapat, persepsi masing-masing. Tapi saya juga ada persepsi sendiri tentang perjalanan saya. Jadi sekali lagi, saya terima sahaja.”
Walaupun Daiyan sudah lali dengan komen yang diterima, penyanyi ini juga menjelaskan bahawa dia tetap menghormati pandangan dan nasihat untuk memperbaiki dirinya menjadi versi lebih baik.
“Saya fikir, komen sebegitu adalah sesuatu yang perlu saya terima sepanjang bergelar anak seni. Namun, saya masih dalam proses cuba memperbaiki diri. Jadi segala nasihat, teguran atau komen orang ramai saya terima. Daripada pihak saya, saya akan lakukan yang terbaik.”
Sekadar info, Daiyan Trisha telah mendapat dua pencalonan di Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) untuk kategori Selebriti Stailo dan Selebriti Feminin Terhangat.