Pelakon Kamal Adli kembali mencuri perhatian selepas memuat naik hantaran terbaru di platform Threads, Menerusi hantaran tersebut, Kamal dilihat meluangkan masa bersama puteri tunggalnya, Hawra Uqaira di sebuah pusat permainan kanak-kanak.
Tampil segak berbaju Melayu sambil bersongkok, sedondon dengan anaknya yang berbaju kurung, Kamal tidak melepaskan peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pengikutnya.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri rakyat dari Ayah dan Hawra Uqaira. Maaf zahir dan batin. Alhamdulillah yeay!”
Walau bagaimanapun, ucapannya itu menyentuh hati pengikut apabila dia tidak melupakan untuk mengucapkan penghargaan kepada bekas isterinya, Uqasha Senrose. Menurutnya, Uqasha telah memudahkan urusannya dalam meluangkan masa berkualiti dengan anak mereka.
“Terima kasih banyak-banyak Ibu (Uqasha Senrose) siapkan baju kurung lawa. Saya gembira, rakyat gembira tak?”
Hantaran ringkas Kamal sedikit sebanyak telah mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial, di mana rata-ratanya memuji sikap kedua-dua selebriti itu bekerjasama dalam membesarkan anak selepas berpisah.
“Terima kasih @uqashasenrose2. Semoga menjadi co-parenting yang terbaik buat Hawra dan dapat membesarkan Hawra bersama-sama.”
“Beruntungnya Uqasha ni. Bekas suami ikut ja dia nak macam mana. Lama-lama lembut hati moga berjodoh kembali. Kamal masih berharap tu. Rindu kat anak isteri dia.”
“Bagusnya Kamal. Sejak cerai tak ada pun burukkan bekas isteri. Selalu tulis yang elok-elok je. Siap ucap terima kasih kat Uqasha siapkan baju kurung lawo buat anak.”
Untuk rekod, Kamal Adli dan Uqasha Senrose sah bercerai talak satu pada 12 Januari 2026 selepas empat tahun mendirikan rumah tangga. Pasangan selebriti ini dikurniakan seorang anak permpuan, Hawra Uqaira.






