Bakal mencecah usia 40 tahun, nampaknya pelakon kacak Zul Arifin nampaknya tidak akan berhenti daripada ‘diburu’ netizen mengenai soal perkahwinan.
Zul, atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, mengakui dirinya masih belum mempunyai rancangan untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat. Jelas Zul, faktor utama dia belum bersedia untuk fokus sepenuhnya kepada kehidupan rumah tangga adalah kerana jadual kerjanya yang sangat padat.
“Hendak pilih pasangan pun perlukan masa. Masalahnya, saya tiada masa mahu pilih. Saya buat tidak tahu sahaja. Jadi hari berlalu macam itu sahaja. Selepas itu, saya buat kerja sahaja. Kalau hendak buat sesuatu, kita kena fokus. Jadi saya tidak fokus ke arah jodoh lagi.”
Walau tidak ada bayangan bila mahu berkahwin, Zul akui telah menetapkan sasaran untuk bergelar suami orang sebelum mencecah usia 50 tahun.
“Soal bila saya nak kahwin? Tidak tahulah. Saya pun tidak tahu. Mungkin dalam lingkungan usia 40-an inilah, tidaklah sampai umur saya cecah 50-an.”
Pada masa yang sama, Zul turut bercakap mengenai mesej langsung (DM) yang diterimanya di media sosial. Akuinya, mesej-mesej yang diterima itu dianggap sebagai gurauan daripada pengikutnya.
“Memang ada orang DM hari-hari. Tetapi saya tidak balas. Itu daripada peminat sahaja, saya tidak marah pun. Kalau DM yang cari jodoh tiada pun. Banyak yang gatal dan mengarut-ngarut sahaja. Tetapi sebenarnya tiada apa-apa pun.”
Mengenai kerjaya seninya, Zul Arifin meminjamkan suara bagi watak “Archie Everhardt” dalam filem animasi Sony Pictures, ‘Goat’ dalam versi Bahasa Melayu yang ditayangkan pada bulan lalu.






