Pada yang masih ingat, telemovie BLOK 404 agak popular suat ketika dahulu. Kisah thriller dikalangan remaja dengan babak-babak pembunuhan sampai tak tahu siapa pembunuh sebenarnya. Tetapi di akhir cerita akan muncul siapa dalangnya dan benda-benda misteri yang akan membuatkan penonton tertanya-tanya, resipi biasa filem thriller.

Blok 404 arahan Silver Chung yang pernah mencetuskan fenomena ketika diedarkan dalam format video cakera padat (VCD) sekitar 2003, kini difilemkan. Pernah menghantui penggemar cerita seram kira kira 16 tahun lalu, pastinya versi filem ini antara karya yang sudah ditunggu lama sekali gus mengubat kerinduan mereka yang sukakan genre sedemikian

Penggambaran filem ini diadakan sejak 8 hingga 21 Jun lalu di beberapa lokasi seperti Rumah Kebun Hulu Langat dan di sekitar Kuala Lumpur termasuk di Jalan U Thant, Ampang dan Rumah Sri Kenangan, Cheras.

IKLAN

Masih mengekalkan deretan beberapa orang pelakon asal seperti Zamarul Hisham, Raja Azrey dan Datuk Boy Iman, filem yang diarahkan Isma itu turut membariskan beberapa wajah baru seperti Fasha Sandha, Nur Risteena Munim, Amar Asyraf, Nadia Brian Aedy Ashraf dan Adrea Abdullah. Tak ketinggalan Kamal Adli, Ozlynn Waty, Syamsul Yusof, Riz Amin dan Taufik Hanafi.

Menurut Penerbit Eksekutif filem Blok 404, Kamisah Hj Abd Manap atau Kam, usaha menyatukan kembali bintang asal Blok 404 dengan disokong pelakon lain sudah lama difikirkan dan akhirnya menjadi kenyataan.

“Impak cerita ini sangat bagus suatu ketika dulu, jadi kenapa tidak kita kumpulkan semula pelakon yang masih ada. Pihak kita juga berusaha untuk mendapatkan pelakon asal Nabila Huda, namun dia ketika ini terikat dengan kerja lain.

“Alhamdulillah pihak penerbit DBI Entertainment juga berjaya mendapatkan pelakon terkenal untuk memberikan rencah lain dalam filem ini. Penggambaran filem ini juga masih berbaki sehari yang akan diadakan tak lama lagi,” kata Kam.

Menurut Kam lagi, versi filem juga tidak mempunyai kaitan dengan telefilem berkenaan.

“Ia sebuah cerita baharu dan bukan kesinambungan kepada kisah lama

“Sepanjang penggambaran kita juga tidak berdepan kesukaran dan komitmen yang diberikan pelakon juga sangat baik,” kata Kam.

Dalam pada itu, Boy Iman yang turut bertindak sebagai pelakon dan penerbit filem Blok 404 mengakui amat kecewa kerana ketiadaan Nabila dan sudah berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan aktres itu namun rezeki tidak menyebelahi mereka.

IKLAN

“Kami bagaikan satu keluarga dan banyak pengalaman dan memori indah yang dikongsi bersama ketika membintangi Blok 404 versi DVD.

“Apabila timbul idea dengan projek ini sudah tentu saya mahukan semua pelakon asal sama-sama terbabit tetapi nampaknya hasrat itu tidak kesampaian.

“Memang rasa terkilan dan kekurangan sebab tak dapat Nabila namun pasti ada hikmah di sebaliknya,” kata Boy Iman.

Sementara itu, Nabila Huda menjelaskan yang dia bagaimanapun tidak mampu untuk menyertai barisan pelakon filem itu kerana sudah terikat dengan penggambaran drama 100 episod, Dendam Aurora yang kini masih berbaki 50 peratus penggambarannya. Drama itu terbitan Global Station Sdn Bhd dan turut dibintangi Ungku Ismail, Anzalna Nasir dan Shah Iskandar dan sudah memulakan siarannya hari ini (Rabu) di Astro Ria dan Ria HD.

Majlis Perasmian Filem Blok 404 oleh YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Timbalan Ketua Pengarah FINAS

“Memang saya dengar… ada yang cakap sayang kerana tak turut serta berlakon filem Blok 404. Ada yang cakap, kenapa saya tak buat cerita yang cukup ‘epik’ ini. Namun harus saya jelaskan dengan komitmen yang sudah saya mulakan menerusi drama Dendam Aurora, saya terpaksa menolak tawaran berlakon filem itu.

“Tambah pula saya pegang watak utama dalam drama itu. Saya tak mahu terkejar-kejar buat banyak kerja dalam satu masa. Saya menolak tawaran berlakon filem Blok 404 kerana tak mahu menyusahkan sesiapa. Saya tak boleh nak memuaskan ramai hati ketika ini sekalipun yang terbabit ialah kawan sendiri. Saya kena bersikap pentingkan diri.

“Watak dan komitmen saya untuk Dendam Aurora pun sangat meletihkan dan memerlukan komitmen yang jitu. Bayangkan saya sampai jatuh sakit. Saya memang tak mampu nak bekerja dengan berkejar -kejar ke lokasi berbeza lagi saat ini,” kata Nabila sambil memberitahu penggambaran drama Dendam Aurora yang menghiasi slot Tiara di Astro itu masih berbaki 50 peratus.

Semestinya filem ini dinanti-nantikan oleh ramai penonton, dan filem ini dijangka tayangannya di pawagam tanah air pada hujung tahun ini.

Like
Love
Haha
Wow
Sad
Angry