Rata-rata akan bersetuju bahawa rakyat Malaysia begitu taksub terhadap penggunaan laman sosial, terutama sekali apabila mengambil kira fakta pengguna Facebook di Malaysia adalah antara paling ramai di dunia.

Bukan Facebook saja, di Instagram juga rakyat Malaysia akan berkumpul untuk mengekspresikan pandangan menerusi gambar mahupun di ruangan komen.

IKLAN

Disebabkan mereka berhak ke atas kebebasan bercakap dan bersuara tanpa menunjukkan diri sebenar, mereka menjadi liar dan buas dalam berkata-kata. Begitulah yang terjadi kepada beberapa artis tanahair di paltform media sosial masing-masing. Kadang-kala mereka tidak dapat mengawal komen-komen liar dari netizen sehingga boleh menyinggung perasaan artis tersebut.

Kelompok netizen yang biasa kita dapat lihat ruangan komen di Instagram mengikut beberapa kategori. Ada yang gemar menggunakan akaun palsu, suka bercakap soal aurat, cara bertudung dan banyak lagi.

Mengikut dari pemerhatian kami sejak beberapa tahun yang lalu, 5 jenis kelompok netizen ini antara yang paling aktif kita boleh jumpa di ruangan komen Instagram artis popular di Malaysia. Jom kita lihat, siapa yang kena!

1Netizen Dari Ahli-Ahli Kelab Pertubuhan Syurga & Neraka

Kelompok ini sangat ditakuti kerana mereka boleh tahu sesiapa yang akan masuk neraka dan tahu bagaimana keadaan di neraka. Hebat bukan? Bukanlah kami mahu mengetepikan soal hukum-hakam Islam, tetapi tak perlu kita mengambil tugas Tuhan untuk menentukan Syurga atau Neraka bagi seseorang itu. Tapi kelompok netizen ini lebih mengetahui!

Kebiasaannya, kelompok netizen ini akan berkumpul di Instaram selebriti berpenampilan seksi ataupun menggoda. Antara selebriti yang menjadi mangsa seperti usahawan Nursajat, penyanyi Zizi Kirana dan ramai lagi.

Kelompok netizen sebegini tidak kisah untuk mengulangi komen sama bagi setiap gambar yang dimuatnaik oleh artis tersebut. Nak perhatian sebenarnya ni!

IKLAN

2Netizen Bekerja Sebagai Pakar Penilaian Aurat Wanita

Sangat di takuti oleh artis-artis wanita, lagi-lagi yang tak bertudung. Kelompok netizen ini sangat pakar dalam urusan menutup aurat wanita dan cara pemakaian dalam Islam. Kadang-kadang nampak rambut sehelai terkeluar pun dah bising. Pakai mikroskop agaknya!

Mereka akan muncul tatkala gambar selebriti dengan penampilan sedikit seksi. Dengan pantas, segerombolan netizen datang secara berjemaah menunaikan tanggungjawab mereka menegur artis tersebut tentang kewajipan menutup aurat. Murni betul niat mereka.

Namun apa yang menghairankan, ada diantara mereka pun tak menutup aurat, macam mana tu? Mencari kesilapan orang lain itu memang senang, tapi diri sendiri belum tentu sempurna.

Kelompok’ acah-acah alim’ ini sepatutnya menegur secara peribadi atau DM (Direct Message) kepada artis kesayangan mereka, bukannya dengan cara menghentam tak tentu pasal sehinggalah boleh menjatuhkan air muka artis tersebut.

3Netizen Dari Pertubuhan Mengharapkan Hidayah

Definisi hidayah dari segi bahasa ialah lawan kepada sesat atau kesesatan iaitu dengan makna memberi penerangan, petunjuk, penjelasan dan suluhan. Itu yang diharapkan oleh kelompok netizen kepada artis kesayangan mereka.

Secara logiknya, netizen-netizen ini hanya mengenali artis-artis ini menerusi Instagram saja, tetapi bagaimana mereka boleh tahu artis itu berada dalam kesesatan? Mungkinkah dengan cara pemakaian?

Don’t be judgemental! kata orang putih. Walaupun sifat menilai atau judgemental ini sifat semulajadi manusia, kami tidak merasakan ia adalah suatu sifat yang boleh memberi kebaikan kepada kita.

Kita cenderung memandang rendah terhadap orang lain. Pada masa yang sama kita merasakan bahawa diri kita lebih baik atau mulia. Kita selalu dapat lihat, selebriti yang gemar berfesyen seperti Kila Fairy, Izara Aishah, Tasha Shila, Uqasha Senrose dan artis-artis wanita yang lain sering mendapat komen-komen sebegini jika mereka memuatnaik gambar di Instagram.

4Pertubuhan Iklan & Promosi Mengarut 

Kelompok netizen ini memang tidak disukai oleh sesiapa sahaja termasuk golongan artis ataupun selebriti. Kelompok netizen ini gemar mensasarkan komen-komen berbentuk iklan atau promosi di Instagram selebriti yang mempunyai pengikut yang ramai contohnya Nora Danish dan Neelofa. Disebabkan itulah kita sering melihat komen ‘visit my IG’, ‘klik nama saya untuk ubat tinggi’ dan ‘saya membeli wang lama’ macam-macam lagilah.

Kadang-kadang komen sampai beribu-ribu, tetapi 90% daripadanya hanyalah iklan semata-mata.

Kami berharap sangat, komen-komen berbentuk iklan ini dapat dihapuskan serta merta menjelang tahun 2020. Semak jer!

5Netizen Dari Pakar Rumah Tangga Sempurna

Kalau ada Pakar menjaga aurat wanita, Pakar rumah tangga ini dapat melengkapi senarai kategori kelompok-kelompok netizen di media sosial. Niat mereka sangatlah murni menegur pasangan selebriti bagaimana menjaga anak, melayan suami  dan sebagainya tetapi malangnya tak kena pada cara.

Begitulah yang terjadi kepada usahawan dan pelakon Syatilla Melvin. Baru-baru ini isteri kepada Shaheizy Sam telah mendedahkan komen-komen buruk dari netizen yang menuduhnya tidak pandai menjaga keluarga.

https://www.instagram.com/p/BzfDPUpl8AU/

Jika dilihat pada komen-komen netizen ini, seakan-akan dia memiliki sebuah keluarga sempurna dan terbahagia di dunia. Menarik bukan? Tak tahu dari mana mereka belajar untuk menegur orang lain, silap-silap boleh kena saman fitnah ni!

Kesimpulannya, tak salah untuk menyampaikan pandangan atau komen di media sosial, tetapi kenalah ada adab dan tidak menyinggung perasaan orang lain. Apa kata, banyakkan komen yang lebih murni dan positif daripada komen-komen clishe yang dianggap sampah.

Janganlah berada di takuk yang lama, dah nak masuk tahun 2020 ni tapi masih ada rakyat Malaysia yang berfikiran di zaman batu. Bila lagi nak keluar dari gua?