Pada minggu ini hangat memperkatakan mengenai isu kebersihan dalam negara . Malah Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menegaskan bahawa beliau malu dengan kebersihan negara terutama melibatkan tandas-tandas awam. Justeru itu, Tun Mahathir berharap tindakan sewajarnya akan diambil.

#KutipSampahChallenge Tular Di Media Sosial 

Dalam pada itu, terdahulu selebriti media sosial iaitu Jabir Meftah bersama rakannya telah mengadakan satu kempen kesedaran, #KutipSampahChallenge di media sosial bagi mengajak orang ramai untuk membuang sampah di tempat yang sepatutnya.

Dalam postingnya sebelum ini, dia turut mencalonkan Raja Permaisuri Agong, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj untuk bersama-sama mengikuti kempen itu.

IKLAN

Tunku Azizah Ajak Netizen Untuk Turut Serta Bersama Tengku Hassanal 

Menyedari akan kempen tersebut yang tular di media sosial, Raja Permaisuri Agong terpanggil untuk bersama-sama menyokong kempen itu.

Menerusi laman Twitter Baginda, Tunku Azizah memberitahu secara kebetulan pada 17 Ogos ini, anakanda baginda yang juga Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah akan berangkat ke Pantai Sepat, Kuantan Pahang untuk turut serta dalam kempen membersihkan pantai.

Di kesempatan itu, permaisuri kesayangan rakyat ini turut menyeru kepada semua pengguna media sosial yang mengikuti perkembangan baginda untuk bersama-sama dengan Tengku Hassanal menjayakan program tersebut.

Rata-rata pengguna media sosial juga berasa terpanggil untuk mengikuti program berkenaan selain turut mengajak pelakon, Maya Karin untuk turut serta.

IKLAN