Seperti mana yang kita ketahui, rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan siaran berdefinisi tinggi (HD), imej dan audio berkualiti tinggi yang dilengkapi dengan pelbagai kandungan secara percuma. Kawasan Tengah dan Selatan Malaysia baru sahaja beralih dari TV analog ke digital pada 30 September 2019, diikuti dengan kawasan Utara dan Pantai Timur pada 14 Oktober lepas.

Di Kedah sahaja, sejumlah 178,700 dekoder diedarkan secara percuma kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) di negeri tersebut.

Namun, sehingga ke hari ini ramai yang masih tidak faham apa signifikannya sistem baru ini kepada orang ramai terutamanya kepada warga emas serta penduduk yang menetap di luar bandar yang sama sekali terkesan dengan perubahan ini.

IKLAN

Baru-baru ini, Jabatan Penerangan Kedah telah menubuhkan sukarelawan khas pemasangan dekoder siaran TV digital secara percuma kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40), yang tidak mengetahui cara memasang alat itu di rumah masing-masing.

Menurut laporan dari Bernama, Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat jabatan itu, Normah Ramli berkata pada masa ini sukarelawan itu terdiri daripada lima petugas teknikal jabatan berkenaan.

“Pasukan petugas sukarelawan Jabatan Penerangan Kedah untuk kerja-kerja kesukarelawanan sudah lama, tetapi sukarelawan khas untuk memasang dekoder ini hasil inspirasi daripada petugas ini yang bermula di kampung mereka, apabila ada penduduk kampung meminta tolong daripada mereka pasangkan dekoder itu,” katanya.

Menurut Normah, langkah ini sebagai usaha bagi membantu golongan tidak berkemampuan termasuk ibu tunggal dan warga emas, yang tidak perlu lagi mengeluarkan perbelanjaan bagi perkhidmatan pemasangan dekoder itu.

Beliau berkata sukarelawan itu juga akan membantu membuat tetapan saluran siaran TV digital selepas dekoder dipasang sekali gus memudahkan golongan itu menonton televisyen.

Tambahnya lagi, penduduk di sekitar kedah mereka boleh menghubungi atau datang sendiri ke Pejabat Penerangan Daerah masing-masing, untuk meminta bantuan sukarelawan ini untuk mendapatkan bantuan pemasangan.

IKLAN

Menerusi myFreeview, penonton dapat menikmati 15 saluran TV dan enam saluran radio termasuk lima saluran dalam HD (TV1, TV2, RTM Sports HD, RTM News/Bes HD, TV3, TV Al-Hijrah, Bernama News Channel (BNC) dan lebih banyak lagi saluran baru akan datang.