Buat masa ini,Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri enggan mengulas lanjut mengenai desas-desus mengatakan bahawa dia telah meletakkan jawatan.

Bercuti Selama Tiga Bulan 

Sejak semalam, pelbagai spekulasi mula rancak diperkatakan namun pengarah tersohor berkenaan hanya mengesahkan bahawa dia akan bercuti buat sementara waktu sehingga Mac hadapan bermula pada minggu hadapan.

IKLAN

Pengumuman itu telah dibuat Ahmad Idham dalam perhimpunan bersama pegawai dan kakitangan FINAS di Hulu Kelang pada Selasa lalu.

Mengikut rekod, Ahmad Idham ditawarkan jawatan secata kontrak lantikan di agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia selama dua tahun yang akan berakhir pada Mac 2021.

Serahkan Pada Pihak Berkuasa 

Dalam laporan Astro Awani pula selepas menghubunginya berkata pengarah filem Mr Cinderella itu menyerahkan segalanya kepada pihak berkuasa berkenaan kedudukannya kelak. Buat masa ini, dia memilih untuk mengunci mulut berkenaan isu tersebut kerana ingin berehat seketika.

“Ada baiknya, kalau kita sama-sama nantikan pengumuman daripada pihak yang berkuasa. Biarlah saya bercuti seketika, selepas bulan Mac, Insya-Allah kita akan berjumpa lagi,” katanya yang telah memegang jawatan tersebut sejak Mac yang lalu.