Biarpun telah lama bertapak dalam industri seni suara tempatan, penyanyi popular Ernie Zakri tidak pernah berputus asa untuk mencipta nama dalam arena hiburan tempatan.

Tampil Dengan Gundah 

Setelah berjaya mencuri perhatian lewat karya-karya terdahulu bersama Syamel dan terbaru melalui lagu ‘Ku Bersuara’ yang berjaya menembusi senarai lagu-lagu untuk Anugerah Juara Lagu ke-34 yang akan datang, Ernie muncul dengan sebuah lagi buah tangan buat peminatnya yang berjudul ‘Gundah’.

Menang Anugerah 

Lagu dan lirik ‘Gundah’ merupakan hasil ciptaan bekas pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke -33, Sharon Paul bersama Ernie sendiri. Sebagai info,baru – baru ini, Ernie telah menerima Anugerah sebagai Asean Master Class Award in Emerging Performance Artist di Asean Outstanding Business Award 2019 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Selain dari bidang nyanyian, Ernie juga sudah mula melibatkan diri dalam bidang lakonan sehingga diberi peluang memegang salah seorang watak utama dalam sebuah drama yang berjudul ‘Suri Katriana’ yang membuatkan dia kini mula mendapat banyak tawaran untuk berlakon.

Dedikasi Buat Arwah Datuk Dan Nenek 

Menurut Ernie lagu ‘Gundah’ ditujukan khas buat arwah datuk dan neneknya, Haji Mohamed dan Hajjah Rokayah. Ia mengisahkan percintaan dua insan yang bercinta sampai ke hujung nyawa dan menggambarkan penderitaan seorang lelaki (iaitu datuknya) yang menderita disebabkan kematian wanita yang dicintai (neneknya). Selepas setahun pemergian neneknya, datuknya pula yang meninggal dunia. Bait-bait lirik seperti “Biar rasa ini membunuhku, biar rindu ini menghukumku” adalah lirik yang tepat menggambarkan kesedihan hati datuknya.

IKLAN

Lagu ‘Gundah’ ini boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Spotify, Joox dan Apple Music. Video lirik dan muzik lagu
‘Gundah’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.