Ahli perniagaan kontroversi, Nur Sajat, terpaksa membayar ganti rugi beserta kos mahkamah dan faedah bagi kes sivil kepada OWA Resources.

Nurwati Hussin yang merupakan plaintif dalam kes tersebut berkata, keputusan mahkhamah pada hari ini membawa penyelesaian kepada tekanan perasaan dan stres yang dihadapinya sepanjang kes tersebut berlansung.

Beliau juga bersyukur kerana imej, jenama dan reputasi syarikatnya, OWA Resources telah dipulihkan, seiring dengan keputusan mahkamah. Beliau juga berterima kasih dengan jumlah pampasan telah diberikan oleh hakim.

IKLAN

Ia merupakan hasil kerja keras dan komitmen yang luar biasa dari barisan peguam yang telah dilantik syarikatnnya. Pada masa yang sama, mahkamah turut menolak saman balas yang difailkan oleh Nur Sajat Aesthetic terhadap Nurwati, dengan kos.

Ini membuktikan bahawa tuduhan tidak berasas Nur Sajat dan kenyataan fakta yang salah terhadap Nurwati adalah perbuatan fitnah. Ianya berbahaya kepada reputasi Nurwati dan telah diterbitkan dengan kesalahan dan niat jahat.

OWA Resources berjaya memfailkan saman terhadap Nur Sajat Aesthetic di atas kegagalan syarikat usahawan tersebut membekalkan bengkung dan girdle yang dipesan oleh syarikat itu di antara Februari dan April 2018.

Sepanjang tempoh perbicaraan yang berlangsung kira-kira selama lima minggu itu, Nurwati yang sering kelihatan emosional berkata, perniagaannya merudum teruk kerana dia tidak dapat membekalkan barangan yang telah dipesan oleh pelanggannya kerana Nur Sajat Aesthetic tidak menghantar stok seperti yang telah dipersetujui di dalam kontrak.

Akibatnya, beliau terpaksa membayar balik wang telah dibayar oleh ejen-ejen tersebut.

“Saya hanya boleh berkata bahawa kelakuan Nur Sajat Aesthetic sebagai tidak profesional dan saya sangat gembira bahawa mahkamah telah bersetuju dengan saya. Keputusan ini adalah satu mesej yang sangat jelas,”- kata Nurwati.

Menurut barisan peguam OWA Resources, Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors, bagi anak guam mereka, imej dan reputasi adalah sangat penting terutamanya apabila ianya telah dicalarkan, dan ianya menjadi kepastian bagi mereka untuk mengambil tindakan undang-undang.

Mereka percaya ia adalah tanggungjawab mereka untuk berjuang bagi membetulkan apa yang salah.

“Anak guam kami perlu membersihkan nama mereka dan berharap pihak mahkamah akan melakukan perkara yang betul, dan anak guam berpuas hati dengan keputusan hari ini.

Akibat dari kes ini, anak guam terpaksa merayu kepada pelanggan mereka untuk terus menjalankan perniagaan dengan syarikat mereka kerana secara tiba-tiba, mata pencarian mereka terganggu oleh kes pelanggaran kontrak tersebut.

Ianya menjadi jelas bahawa kes ini telah memberi banyak kerosakan kepada perniagaan mereka. Kami gembira bahawa keadilan telah dicapai bagi pihak anak guam kami,” tambah Nurul Hafidzah Hassan, Rakan Kongsi Utama NHA Advocates & Solicitors yang juga mewakili selebriti Linda Rafar bagi kes fitnah atas talian beliau.

IKLAN