Sebelum ini, Nor Diana atau lebih dikenali sebagai Nor ‘Phoenix’ Diana mencuri tumpuan sebagai ahli gusti profesional berhijab pertama Malaysia yang berjaya menjuarai kejohanan Malaysia Pro Wrestling (MyPW) Wrestlecon sekitar Julai 2019.

Tercatat Dalam Forbes 

Terbaru, Diana sekali lagi mengharumkan nama negara serta mencatat rekod peribadinya apabila kejayaanya telah diiktiraf majalah antarabangsa, Forbes bagi kategori Forbes 30 Under 30 Asia 2020.

IKLAN

Sebagai info, Forbes 30 Under 30 Asia menampilkan mereka yang berjaya terdiri daripada para usahawan,’trendsetter‘ serta pemimpin muda di seluruh Asia di bawah usia 30 tahun. Antara selebriti Malaysia yang pernah tersenarai dalam kategori ini adalah Neelofa dan Shila Amzah.

Kalahkan 5 Orang Lelaki

Mengenai penglibatan Diana, remaja berusia 20 tahun ini mula terjebak dalam dunia gusti selepas bermain bersama abangnya di dapur rumah mereka. Dikhabarkan permainan video merupakan titik mula minatnya dalam sukan ini dan mula menyertai Malaysia Pro Wrestling (MyPW) pada 2015.

Lebih mengejutkan, Nor Diana berjaya mengalahkan 5 ahli gusti lelaki yang lain sekaligus menjadi pemenang wanita pertama sepanjang 6 tahun penganjuran MyPW sekaligus menarik perhatian ahli gusti terkenal Amerika Syarikat Mustafa Ali mengenai kejayaannya.