Berita baik buat perusahaan kecil dan sederhana ( PKS ) di Malaysia. Lazada Malaysia bakal melancarkan pakej rangsangan buat mereka dari bulan April hingga Jun 2020. Difahamkan ia sebahagian daripada komitmen korporat mereka kepada masyarakat.
Pakej Kedai Pintar
“Pakej Kedai Pintar”, bermula dengan dana tunai RM10 juta, bertujuan untuk menyokong kemampanan perniagaan, kestabilan sumber pendapatan pekerja dan secara langsung mengukuhkan ekonomi negara semasa berlakunya wabak COVID-19.
Inisiatif ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 PKS tempatan, terutamanya mereka yang berada dalam kategori makanan segar dan barangan runcit, penjual eDagang baharu dan sedia ada, serta kedai-kedai peruncit.
Sebagai contoh, mereka yang merancang untuk membuka gerai untuk Pasar Ramadhan. PKS yang layak akan menikmati perkhidmatan penghantaran secara percuma dan menerima pembayaran mingguan secara tetap.
Satu pasukan yang berdedikasi juga telah ditubuhkan untuk mengawal selia, melatih dan mengembangkan kempen jualan untuk PKS mengikut kesesuaian melalui Universiti Lazada.
PKS daripada kategori makanan segar dan runcit
PKS daripada kategori makanan segar dan runcit, serta penjual Lazada baharu dan sedia ada juga layak mendapat komisen sifar dan yuran penyenaraian sifar, dan juga akses kepada kemudahan pinjaman mikro.
Melalui inisiatif ini, peruncit PKS baharu, mahupun yang tidak mempunyai banyak pengalaman dalam eDagang, boleh menjangkakan 100% daripada kos berniaga dalam talian mereka ditanggung, mampu mempelbagaikan sumber pendapatan, pada platform Lazada di mana satu daripada tiga rakyat Malaysia adalah merupakan pengguna Lazada.
“PKS tempatan adalah penting untuk pertumbuhan ekonomi negara serta kehidupan masyarakat, dan dengan membantu mereka, kami berharap untuk meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia di tengah- tengah kegawatan COVID-19. Ini adalah tanggungjawab semua pengendali platform untuk menyokong para peniaga yang telah memberi kepercayaan kepada kami selama ini,” kata Leo Chow, Ketua Pegawai Eksekutif, Lazada Malaysia.
Pada awal Mac, platform eCommerce berjaya membantu perniagaan pertanian tempatan, termasuk para pekebun sayur serta nelayan, untuk mendigitalkan dan memenuhi pelbagai permintaan penduduk di kawasan bandar bagi produk segar dan barangan runcit semasa Perintah Kawalan Pergerakan.
Dalam masa kurang dari 48 jam, para petani Cameron Highlands berupaya menjual 1.5 tan sayur-sayuran kepada hampir 200 isi rumah dalam masa sehari.
Mulai April hingga Jun, PKS boleh mendaftar di www.lazada.com.my/sell-on-lazada dan mendapat tanggungan 100% kos modal mereka. Kos modal merujuk kepada perkhidmatan yang disediakan oleh Lazada Malaysia, termasuk penghantaran bungkusan kepada pelanggan, perkhidmatan penciptaan kandungan, penyenaraian produk dan pengiklanan.
Lazada akan bekerjasama dengan PKS untuk mengkaji dan menyenaraikan produk mereka sehingga empat bulan, membantu dari segi kempen promosi, memenuhi pesanan dan menganalisis data jualan dan trafik.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk kemas kini berita hiburan terkini.