Setiap kali pada bulan Ramadan, kuih tradisional seperti Tepung Pelita antara juadah yang paling popular dan menjadi pilihan ramai.

Bercakap mengenai kuih lemak manis itu, semestinya ‘Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras’ yang paling mencuri perhatian sehingga ramai yang sanggup beratur panjang bagi membawa pulang juadah sebagai santapan ketika berbuka.

IKLAN

Tidak Akan Beroperasi Sepanjang Ramadan 2020

Namun begitu, sejak dibuka 19 tahun yang lalu barangkali ini adalah kali pertama pengusaha Tepung Pelita Paya Jaras membuat keputusan untuk tidak beroperasi pada Ramadan tahun ini.

Ini berikutan penularan wabak COVID-19 yang mana bagi pemiliknya Watie Abdul Rahman, 48 tahun dan suami, Nadzri Taris, 46 tahun terpaksa berbuat demikian demi kebaikan semua rakyat Malaysia.

Tiada Jualan Dalam Talian 

Biarpun ramai yang kecewa termasuk permintaan tinggi daripada ejen jualan yang memintanya untuk terus beroperasi, bagi Watie dia berpendirian untuk tidak meneruskannya.

Malah dalam masa yang sama dia turut mengumumkan tiada sebarang jualan dalam talian akan dilakukan bagi mengelakkan sebarang pergerakan sepanjang PKP.