Bila tiba Hari Raya, banyak memori manis yang terukir. Tahun ini kita menyambut Hari Raya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang memberikan sedikit perbezaan kepada kita semua. Buat yang berada jauh di bandar, anda hanya boleh menziarahi saudara mara terdekat sahaja.

Jadi untuk mengimbau kembali memori beraya di kampung, jom lihat beberapa juadah tradisi Hari Raya mengikut negeri dan mungkin boleh dijadikan idea memasak pada pagi raya.

9Kedah – Lengat Pisang

via Rahsia Resepi Ibu

Lengat Pisang merupakan juadah yang paling popular di Kedah ketika bulan puasa dan ketika sambutan Hari Raya. Dalam loghat Kedah, lengat bermaksud kukus. Jadi lengat pisang membawa maksud pisang yang dikukus bersama dengan tepung gandum dan juga santan.

8Melaka – Dodol

via Wikimedia

Dodol boleh dikategorikan sebagai salah satu menu manisan yang wajib ada dalam menu orang Melaka. Memasak dodol bukanlah suatu yang mudah, memerlukan ketabahan dan kesabaran.

Mana tidaknya, proses membuat dodol boleh mencapai sehingga tujuh jam! Tetapi apa yang dilihat daripada aktiviti memasak dodol ini adalah memori meriah ketika bersama keluarga betul?

7Negeri Sembilan – Rendang Hitam Minang

via Pikiran Rakyat

Fuh! Terliur bila memikirkan juadah ini. Selalunya rendang hitam minang hanya dimasak ketika perayaan terutamanya ketika menyambut Hari Raya. Juadah yang mempunyai rasa rempah dan daging empuk selalunya dimakan bersama nasi, lemang dan lontong daun pisang. Disebabkan kesedapan juadah ini, pasti ada yang meratah begitu saja.

IKLAN

6Terengganu Dan Kelantan – Nasi Dagang

via Unilever Solutions

Kalau yang beraya di Terengganu & Kelantan, nasi dagang merupakan menu yang wajib ada di pagi Hari Raya pertama. Nasi dagang selalunya dimakan bersama dengan kuah kari yang pekat.

Kedua-dua negeri ini mempunyai lauk nasi dagang yang berbeza. Nasi dagang Terengganu hanya dimakan dengan kari ikan tongkol manakala nasi dagang Kelantan ada yang makan dengan kari ayam.

5Johor – Lontong

via Dish By Illi

Tidak semestinya Hari Raya baru ada Lontong di Johor. Tapi bila tibanya Hari Raya, lontong ialah salah satu makanan yang wajib ada di Johor atau pun di rumah orang yang berasal dari Johor.

Antara ramuan yang wajib ada dalam lontong ialah tempe, tauhu, kacang panjang dan dimakan bersama kuah lodeh. Ada juga yang makan lontong bersama serunding, telur rebus, sambal tumis dan sambal kacang.

4Pulau Pinang – Laksa Penang

via Resepi Che Nom

Laksa penang ataupun laksa asam juga turut menjadi menu wajib ketika Hari Raya bagi orang Pulau Pinang. Walaupun laksa penang boleh didapati ketika hari biasa, tetapi jika dimakan ketika pagi raya, kenikmatanya lain sedikit dari hari biasa.

Perbezaan laksa penang dengan laksa dari negeri lain adalah kuah laksa yang dibuat bersama dengan isi ikan dan dimakan bersama salad, nenas, timun, bawang dan petis.

3Sabah Dan Sarawak – Kelupis

via Carousell

Kalau di Semenanjung Malaysia, ketupat dan lemang adalah makanan yang popular di pagi Hari Raya, tetapi di Sabah dan Sarawak agak berbeza kerana kelupis merupakan menu yang wajib ada.

Kelupis yang dimakan bersama rendang ataupun kari ini seakan-akan ketupat pulut, cuma yang membezakanya adalah teksturnya yang lebih lembut dan mempunyai rasa manis.

IKLAN

2Perak – Rendang Tok

via Mstar

Pada asalnya, rendang tok menggunakan daging kerbau yang lebih berurat, manis dan dimasak bersama dengan ramuan rendang. Tetapi sekarang ramai yang masak rendang tok menggunakan daging lembu disebabkan daging ini lebih mudah untuk diperoleh.

Mempunyai warna yang agak gelap, rendang tok selalunya dimasak dalam tempoh masa yang agak lama sehingga daging lembut dan dimakan bersama ketupat dan lemang.

1Pahang – Puding Raja

via MakanLena

Pada zaman dahulu, Puding Raja hanya disediakan sebagai pencuci mulut ketika majlis-majlis yang melibatkan pihak istana. Tetapi sekarang ini semua orang boleh merasa puding raja terutamanya ketika Hari Raya.

Antara bahan-bahan yang ada dalam Puding Raja ialah pisang lemak manis, jala emas (kuning telur yang dimasak dengan gula), buah prun, buah ceri dan kacang gajus.

Jadi anda tidak perlu sedih sekiranya tidak dapat pulang ke kampung! Mungkin dengan menyediakan juadah negeri asal anda dapat mengubati kerinduan ketika menyambut raya bersama keluarga di kampung.