Selain berkebolehan dalam pengarahan filem, selebriti verstail Michael Ang juga sememangnya berbakat besar dalam bidang masakan.

‘Michael Ang’s Halal Kitchen’ Kembali!

Maka tidak hairanlah saluran NAURA (CH109) berbesar hati melancarkan musim ke-2 program masakan ‘Michael Ang’s Halal Kitchen’ setiap Rabu yang mula ditayangkan pada 1 Julai 2020 baru-baru ini. Program berdurasi 30 minit itu akan bersiaran selama 26 episod bagi musim terbaharu ini.

IKLAN

Fokus Sajian Antarabangsa 

Pada musim pertama, ‘Michael Ang’s Halal Kitchen’ menyaksikan Michael mengubah cara masakan makanan kegemaran warga Cina tempatan dengan menggunakan bahan masakan yang halal dan sesuai untuk masyarakat beragama Islam di Malaysia.

Bagi musim kedua ini pula, pengarah drama Setelah Terlafaznya Akad dan Sweet Dreams itu ‘kembali ke dapur’ dengan memfokuskan kepada hidangan dan sajian antarabangsa dari negara Filipina, Scotland, England, Thailand, Perancis, Uzbekistan dan banyak lagi, menggunakan bahan-bahan masakan yang halal.

Ditemani Artis Jemputan

Tidak keseorangan, sebaliknya pengarah yang cukup dikenali ramai ini akan ditemani artis-artis jemputan seperti Mark Adam, Amelia Henderson, Diana Danielle, Mawar Rashid, Mona Allen, Jonathan Putra, Ramona Zam Zam dan ramai lagi.

Dalam rancangan itu, Michael juga berborak secara santai tentang selok belok kehidupan peribadi serta perkembangan terbaharu mereka dalam kerjaya.

“Hadirnya artis-artis jemputan seperti Mark Adam, Amelia Henderson, Diana Danielle, Mawar Rashid, Mona Allen, Jonathan Putra, Ramona Zam Zam dan ramai lagi semestinya akan memeriahkan program ini, dengan gelak tawa dan menampilkan sisi lain artis tempatan ketika ‘beraksi’ di dapur.

Sejak pelancaran saluran NAURA pada tahun 2018, kami tetap dengan pendirian kami untuk menghasilkan program-program yang mempunyai nilai pasaran global di mana pengisiannya sesuai buat tontonan masyarakat Muslim di Malaysia dan komuniti Muslim seluruh dunia.

Berlandaskan prinsip itu, matlamat kami dengan adanya musim kedua ‘Michael Ang’s Halal Kitchen’ adalah untuk mengetengahkan konsep ‘global kitchen’ di mana setiap hidangan boleh dinikmati oleh umat Islam. Kami yakin mesej yang cuba kami sampaikan dengan sentuhan istimewa Michael kepada audiens dapat dimanfaatkan semua.” kata Azlin Reza Azmi, Ketua Saluran Melayu Astro di dalam edaran media kepada pihak Murai.my

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, program ini juga boleh distrim secara percuma melalui aplikasi Astro GO, dan secara on demand.