Sejak tercetusnya wabak pandemik Covid-19, semua langkah pencegahan telah diambil dan diperkuatkan lagi bagi menghentikan virus ini dari terus tersebar secara meluas. Salah satu tindakan yang disarankan dan diwajibkan buat masa ini ialah dengan pemakaian topeng muka terutama sekali ketika kita melakukan perjalanan atau aktiviti di luar rumah. Namun, apa yang sering menjadi masalah terutama sekali bagi pengguna yang memakai cermin mata adalah setiap kali menggunakan pelitup muka, cermin mata akan menjadi berkabus atau lembap.
Mesti stress kan bila memakai pelitup muka, cermin mata akan berkabus dan kabur. Apa yang perlu kita buat? Rasa sangat terganggu dengan situasi ini?
Mesti ramai yang masih tertanya-tanya apakah yang menyebabkan perkara ini berlaku dan bagaimana untuk menyelesaikannya. Sebenarnya ianya terjadi apabila anda memakai topeng muka dan cermin mata pada masa yang sama, nafas hangat yang keluar dari hidung anda akan menghembus ke bahagian atas topeng muka dan melekat pada kanta cermin mata yang lebih sejuk. Sebab itulah, pemeluwapan boleh berlaku.
Jangan risau kerana kami akan kongsikan beberapa jalan penyelesaian terbaik yang boleh anda lakukan bagi mengatasi masalah ini. Jom kita lihat!
Cuci Kanta Dengan Menggunakan Air Sabun
Pada tahun 2011, satu kajian telah diterbitkan di Royal College of Surgeons, England melaporkan bahawa seorang pakar bedah telah mencuci cermin matanya dengan menggunakan air sabun sebelum melakukan pembedahan dan ternyata beliau dapat menyelesaikan operasi pembedahan tanpa sebarang gangguan yang disebabkan oleh cermin mata yang berkabus semasa memakai topeng muka.
Anda boleh menggunakan kaedah ini walau di mana sahaja anda berada sebelum anda memakai pelitup muka. Anda hanya perlu basuh atau rendamkan cermin mata di dalam air sabun, kemudian keringkan dengan menggunakan kain atau tisu. Cara ini sangat membantu kerana sabun dapat mengurangkan tegangan pada permukaan dan meninggalkan lapisan nipis sehingga menyebabkan molekul air (wap dari nafas) tidak akan melekat pada permukaan cermin mata.
Walaupun kaedah ini tidak mungkin bertahan selama seharian, tetapi sangat berguna selama beberapa jam anda berada di luar rumah. Jika lebih lama, anda boleh sahaja mengulangi perkara yang sama. Selain daripada cermin mata anda bebas dari berkabus, ia juga dapat membunuh kuman atau virus yang melekat pada cermin mata.
Ketatkan Ikatan Tali Pelitup Muka
Nafas yang dihembus ke atas boleh menjadi tanda bahawa pelitup muka yang dipakai tidak cukup untuk melindungi saluran pernafasan anda. Sekiranya anda memakai topeng muka yang diikat di belakang kepala, cuba ketatkan sedikit ikatan tali di kepala dan cuba ikat tali bahagian atas ke bawah sedikit dan bahagian bawah tali silangkan menjadi X dan ketatkan mengikut keselesaan. Pastikan anda masih boleh bernafas dengan sempurna dan cara ini sebenarnya dapat membebaskan udara yang dihembus dengan lebih cepat dari topeng muka.
Anda juga boleh melipat sedikit bahagian atas pelitup muka jika ianya terlalu besar dan selaraskan bahagian tepi dengan kemas supaya ia dapat menutup bahagian hidung dan mulut dengan sempurna.
Tambahkan Tisu
Setelah anda melipat bahagian atas topeng muka, anda juga boleh menambah tisu ke bahagian atas yang dilipat. Hanya lipat tisu dalam bentuk empat segi panjang, kemudian pasangkannya tepat di lipatan bahagian atas topeng muka. Tisu ini juga dipercayai dapat menyerap kelembapan dari penyedutan dan menyekat pemeluwapan.
Gunakan Semburan Anti-Debu / Anti-Kabus
Anda boleh menyemburkan cecair kalis debu atau cecair anti-kabus pada cermin mata dan keringkan dengan menggunakan kain atau microfiber. Pastikan kain yang digunakan juga bersih atau dibersihkan secara berkala. Perkara ini penting bagi menghilangkan segala jenis habuk dan kotoran pada permukaan cermin mata. Dengan cara itu, cermin mata akan sentiasa bersih dan bebas dari kelembapan walaupun apabila kita memakai pelitup muka.
Cecair anti-kabus biasanya digunakan oleh perenang atau penyelam bagi mencegah dan menghilangkan kabus pada cermin mata atau goggle yang akan mereka gunakan semasa berenang.
Gunakan Krim Pencukur
Satu lagi kaedah mudah yang boleh anda lakukan bagi mengatasi masalah cermin mata yang berkabus ketika memakai topeng muka adalah dengan menggunakan krim pencukur. Memang kedengaran agak pelik, tapi krim pencukur ternyata mampu dan cukup kuat untuk menghilangkan kelembapan pada cermin mata yang boleh menggangu penglihatan.
Cara menggunakannya juga cukup mudah. Anda hanya perlu menyapukan krim pencukur pada cermin mata secara menyeluruh dan sekata. Selepas itu, bersihkan sehingga cermin mata kelihatan baik dan cerah. Dengan cara itu, anda tidak perlu risau lagi cermin mata anda akan berkabus ketika memakai topeng muka.
Inilah antara beberapa cara yang boleh anda lakukan bagi menyelesaikan masalah cermin mata yang berkabus. Semoga cara ini akan memberi manfaat yang berguna untuk anda. Sentiasalah menjaga kebersihan walaupun dimana sahaja kita berada.
Jangan lupa untuk sentiasa melindungi diri anda dengan memakai topeng muka terutama sekali jika anda berada di tempat yang ramai orang. Ini bukan sahaja sebagai langkah keselamatan untuk anda dan keluarga tapi ianya dapat mengelakkan anda dari disaman pihak berkuasa.
#kitajagakita
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.