Bertugas sebagai pembaca berita TV9 membuatkan nama Amin Hayat bukan satu nama yang asing lagi dalam kalangan rakyat Malaysia. Beliau merupakan antara pembaca berita terawal muncul dalam Berita TV9 yang bersiaran pada jam 1 tengah hari (Sabtu – Khamis) dan 8 malam (Isnin – Ahad).

Sebelum ini, beliau merupakan satu-satunya pembaca berita yang bersiaran dengan imej botak. Bagi yang mengenali Amin, pasti sudah mengetahui beliau merupakan pesakit Alopesia, sehingga memaksa beliau untuk tampil dengan imej botak.

Umum Letak Jawatan

Selepas 14 tahun berkhidmat, Amin atau nama sebenarnya Amin Hayat Abdul Rahim akhirnya mengumumkan perletakan jawatannya di Media Prima Berhad. Pengumuman ini menerima pelbagai respon yang rata-ratanya mempamerkan rasa sedih dari peminat dan rakan sekerja.

Pernah Hampir Dipukul

Di laman facebooknya, Amin sempat menceritakan pengalaman manis dan pahit sepanjang menjadi penyampai berita di TV9.

IKLAN

“Saya pernah hampir dipukul orang kampung hanya semata-mata mahu menegakkan benang yang basah. Hampir dibelasah kongsi gelap hanya mahu ketengahkan isu pendatang, dikacau adik akak2 manis di lorong2 gelap, berdepan pula insan2 yg mengambil kesempatan menagih simpati sedangkan realitinya berbeza.. macam2 la pengalaman.”- tulisnya di facebook.

Tambahnya lagi, memori pahit dan manis ketika di Berita TV9 akan sentiasa terpahat di hati dan tidak mungkin boleh dilupakan.

“Saya merindui zaman ketika itu. Penuh memori indah, suka dan duka ketika buat reporting di lapangan. Kerja kami bukan segelintir orang fikir hanya nak nampak elok di TV, pergi jalan2 melancong, gaji berkepuk haha tapi realitinya berbeza, sebenarnya bukan mudah ya.

Sepanjang saya di Berita TV9. Saya cukup berterima kasih kepada semua rakan-rakan dan terutamanya bos2 yang banyak memberi tunjuk ajar dan kepercayaan kepada saya.” kata jejaka yang pernah dipilih Top 10 Most Stylish Men 2010 oleh majalah Glam Lelaki ini.

Dalam posting tersebut, Amin turut memohon maaf kepada semua termasuk di luar sana jika sepanjang dia bersiaran telah mengguris hati mana-mana pihak.

IKLAN

“Maaf semua termasuk diluar sana sekiranya selama ni abam ada berlaku khilaf kepada semua….”

Penonton pasti akan merindui kewibawaan beliau dalam menyampaikan informasi terkini selepas ini. Selamat maju jaya, Amin Hayat, #sampaijumpa.