Ramai yang menggunakan TikTok untuk berkongsi hiburan, trend tarian, resipi dan video kehidupan seharian. Tetapi pernah terfikir tak, platform ini juga boleh menjadi ruang untuk mendidik masyarakat tentang hak undang-undang?
Itulah yang dibuktikan pencipta kandungan dari Malaysia, Reina Lum (@reinalum), apabila dinobatkan sebagai Changemaker of the Year pada acara kemuncak sulung TikTok Awards Southeast Asia 2026 di Bali, Indonesia.
Pengiktirafan khas ini diberikan kepada pencipta kandungan di Asia Tenggara yang berjaya mencetuskan perubahan sosial dan gerakan komuniti menerusi kandungan mereka.
Reina Lum Ubah Ilmu Undang-Undang Jadi Konten TikTok
Sebelum dikenali sebagai pencipta kandungan, Reina merupakan seorang peguam yang mula aktif menghasilkan video di TikTok sejak 2019.
Berbekalkan latar belakang undang-undang, beliau mengambil pendekatan berbeza dengan menerangkan perkara berkaitan hak pengguna, isu perundangan dan masalah sosial menggunakan bahasa yang lebih mudah difahami.
Ketika pandemik COVID-19 melanda, Reina turut meningkatkan kesedaran mengenai hak wanita, khususnya ketika kes keganasan rumah tangga semakin mendapat perhatian.
Menerusi video penerangan yang ringkas dan berasaskan fakta, kandungannya membantu jutaan rakyat Malaysia memahami hak mereka, keselamatan digital serta kesedaran sivik.
Kalau selama ini kita fikir topik undang-undang hanya sesuai dibincangkan di mahkamah atau bilik kuliah, Reina membuktikan sebaliknya. Ilmu penting juga boleh disampaikan melalui video pendek!
Daripada Peguam Kepada Usahawan Kandungan
Kini, Reina menjadikan minat menghasilkan kandungan sebagai kerjaya sepenuh masa. Malah, jenama peribadinya berkembang menjadi sebuah perniagaan mampan yang menyediakan peluang pekerjaan kepada pasukan yang semakin berkembang, termasuk menerusi perusahaan kecerdasan tenaga kerja, N3X.
Menurut Reina, ilmu sepatutnya boleh diakses oleh semua orang tanpa mengira latar belakang ekonomi atau kedudukan sosial.
Beliau turut berharap pengiktirafan ini dapat mendorong lebih ramai individu menggunakan suara dan platform masing-masing untuk membawa perubahan positif.
Selain Reina, pencipta kandungan dari Singapura, Vietnam, Thailand, Filipina dan Indonesia turut menerima gelaran Changemaker of the Year.
Pengiktirafan ini membuktikan bahawa pencipta kandungan bukan sekadar mengejar jumlah tontonan dan tanda suka. Kadangkala, satu video yang membuka mata seseorang jauh lebih bernilai daripada jutaan views tanpa sebarang mesej.












