Sebelum ini, banyak netizen yang sentiasa berkongsi foto mereka yang telah diedit  dengan aplikasi yang akan membuatkan wajah kelihatan lebih tua dan berkedut. Nasib baik itu hanya sekadar aplikasi dan bukan suatu keadaan yang sebenar.

Tetapi anda harus ingat, jika anda tidak ingin wajah anda terlihat lebih tua dari usia sebenar, ada beberapa perkara yang perlu anda hindari. Sebabnya, banyak perkara yang kita anggap remeh yang kita lakukan setiap hari sebenarnya boleh menjadikan kulit kita terutamanya kulit wajah kelihatan lebih cepat tua. Antara perkara biasa yang kita lakukan tanpa sedar dan boleh menyebabkan kedutan pada muka adalah seperti mengerutkan bibir dan kerap menggosok mata.

Tabiat ini memang kelihatan remeh. Namun, jika terus dibiarkan, tidak mustahil kulit wajah akan menua dengan lebih cepat dan kelihatan tidak sepadan dengan umur sebenar yang masih muda.

IKLAN

Jom kita lihat tabiat yang kita anggap remeh yang sebenarnya boleh mencetuskan penuaan wajah pramatang.

Tidak Menggunakan Pelindung Matahari

via Twitter

Pelindung matahari atau sunblock sebenarnya dapat membantu mengatasi beberapa masalah kulit seperti kulit terbakar akibat pancaran cahaya matahari, radang kulit dan tentu sahaja dapat mencegah dari penuaan pramatang. Walaupun begitu, kita mesti berhati-hati dalam memilih jenis pelindung matahari yang sesuai kerana tidak semuanya dapat melindungi kulit dari kesan penuaan.

Pelindung matahari yang ideal harus melindungi kulit dari UVA dan UVB. Walaupun kedua-duanya boleh merosakkan kulit, cahaya ultra ungu A lah yang menyebabkan kulit akan menjadi tua dengan lebih cepat. Oleh itu, pilih sunblock yang mempunyai label ‘Broad Spectrum’, yang bermaksud ia dapat menghalang dari UVA dan UVB. Anda juga disarankan untuk memilih pelindung matahari yang memiliki sekurang-kurangnya SPF30. Sapukan sunblock sekurang-kurangnya setiap 2 jam, termasuklah ketika anda berada di dalam rumah.

Badan Terlalu Kurus

via FMT

Ramai yang fikir, kegemukan banyak memberi kesan yang negatif. Namun, tahukah anda bahawa terlalu kurus juga tidak sihat, termasuk menjadikan kulit akan lebih cepat berkedut dan kendur. Kekurangan lemak di wajah, mencetuskan kulit yang kendur di kawasan ini dan menjadikan penampilan seseorang kelihatan lebih tua.

Sekiranya anda terlalu kurus, diet yang sihat dan pola makan yang teratur adalah cara untuk mengatasinya. Makan nutrien seperti Omega-3, yang banyak terdapat dalam ikan. Ini adalah untuk melawan kedutan. Selain itu, disarankan juga untuk rajin mengambil vitamin C yang dapat meningkatkan produksi kolagen.

Kerap Menggosok Mata

via Kompas Lifestyle

Mungkin anda selalu melakukan ini secara tidak sengaja bukan? Menggosok mata dengan kerap boleh menyebabkan terjadinya lingkaran hitam bawah mata dan ini akan memberikan kesan pada penampilan wajah. Sekiranya anda tidak dapat menghentikan tabiat ini, cuba untuk berjumpa dengan doktor. Kerana berkemungkinan ada alergi dibahagian belakang mata dan terasa gatal yang menyebabkan anda kerap menggosok mata.

Bagi mereka yang sering menggunakan kanta lekap dan alat kosmetik, anda disarankan untuk melakukan dua perkara ini dengan lembut. Ini dapat mencegah dari masalah pigmen pada kulit dan mencegah wajah anda dari kelihatan lebih tua.

Selalu Stress Atau Tertekan

via Cerita Menarik

Banyak perkara yang boleh menjadikan punca kepada stress atau tekanan. Dari urusan keluarga di rumah sehinggalah segala drama di tempat kerja. Mengurangkan stress boleh mencetuskan penuaan awal kulit. Apabila anda merasa tertekan, otak anda akan melepaskan hormon kortisol. Hormon ini dapat melemahkan kolagen dan akan mengakibatkan penuaan kulit dengan lebih cepat.

Oleh itu, anda harus mengenal pasti punca stress dan tahu akan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini. Anda juga boleh menggunakan tips mudah seperti mendengar muzik, menarik nafas dan bersenam. Sekiranya tekanan yang dirasakan semakin serius sehingga menimbulkan gejala gangguan perasaan, anda harus segera mendapatkan rawatan dari pakar psikiatri.

Mengerutkan Bibir Sewaktu Menggunakan Straw

via Maskulin

Mungkin hal seperti ini jarang kita dengar. Namun, mengerutkan bibir sewaktu minum dengan menggunakan straw boleh menjadikan penuaan kulit lebih cepat. Kebiasaan ini boleh menyebabkan munculnya garis-garis halus atau kedutan di kawasan mulut untuk kesan jangka masa yang lebih panjang. Mengelakkan dari minum dengan menggunakan straw adalah kaedah terbaik untuk mengurangkan risiko kedutan ini.

Tidur Secara Mengiring

via Celik AlQuran

Anda mungkin lebih selesa tidur secara mengiring sama ada ke kanan atau ke kiri, mungkin juga dengan hanya cara ini sahaja, membuatkan lena anda lebih sempurna. Tetapi perlu diingat, kedudukan tidur seperti ini memberikan kesan yang buruk pada kulit wajah. Kedudukan tidur seperti ini juga boleh menekan kulit selama beberapa jam semasa kita sedang tidur. Sekiranya ia berlanjutan selama bertahun-tahun, ini akan dapat mencetuskan kedutan dan menyebabkan kesan penuaan dengan cepat.

Walaupun setiap posisi tidur mempunyai kebaikan dan kekurangan. Tidur secara terlentang adalah posisi yang terbaik bagi mengelakkan kedutan pada wajah. Selain itu, posisi ini juga mempunyai manfaat lain seperti dapat mengurangkan tekanan akibat sakit kepala dan dapat menyelaraskan tulang belakang dengan baik.

IKLAN

Selain daripada mengelakkan daripada melakukan tabiat yang kita anggap remeh yang disenaraikan di atas, kita juga boleh mempraktikkan petua untuk tetap muda dan mencegah penuaan pramatang adalah dengan bersenam, yoga serta makan makanan yang segar dan berkhasiat.