Isu mengenai video ‘gelang pink’ yang dibuat oleh personaliti media sosial, Chazynash di laman Instagram nya baru-baru ini masih hangat diperkatakan.
Satu Kesalahan – Ismail Sabri
Biarpun sudah memohon maaf, namun video tersebut telah mendapat perhatian pihak kerajaan yang mana telah diulaskan menerusi sebuah sidang media pada petang Selasa. Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dia menegaskan mana-mana individu yang mempersendakan ‘gelang pink’ yang diketahui umum hanya untuk mereka yang menjalani kuarantin dianggap sebagai satu kesalahan kerana menipu orang ramai.
“Kalau dia tu betul-betul dikuarantin, keluar dengan pakai gelang tentu saja dia akan dikenakan tindakan.
“Kalau dia tidak dikenakan kuarantin, tapi pakai gelang, dia juga menipu menggunakan bahan atau peralatan daripada Kementerian Kesihatan untuk tindakan tertentu bertujuan tertentu dan tujuan dia adalah menipu orang ramai. Dia pun salah melakukan perkara tersebut,” katanya dalam sidang media tersebut.
Serahkan Pada Pihak Polis
Mengulas lebih lanjut, Ismail menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung perkara tersebut. Dalam pada itu, dia juga berharap agar kes seumpama ini tidak dijadikan sebagai bahan gurauan kerana melibatkan isu yang besar.
“Terserah kepada polis untuk ambil tindakan.
“Saya harap kita perlu bertanggungjawab. Jangan kita menjadikan ini sebagai bahan mainan atau ketawa. Ini melibatkan isu nyawa, isu yang besar.
“Jadi, jangan menganggap ini perkara yang boleh dibuat lawak, dimain-mainkan kerana kesannya adalah amat besar,” tambahnya.
Terdahulu, Chazynash atau nama sebenarnya Syed Fernarsh Ibni Dato’ Seri Syed Badlishah Jamalullail mencetuskan kontroversi apabila memuat naik video menunjukkan dia memakai ‘gelang pink’ ketika makan di restoran.
Bagaimanapun, dia menjelaskan video itu merupakan lakonan semata-mata dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menerusi carian Murai.my terkini, video tersebut telah pun dipadam di laman Instagram nya setelah mendapat teguran daripada pihak kerajaan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.