Beberapa minggu yang lalu, Murai.my melaporkan mengenai bekas pembantu peribadi (PA) usahawan kosmetik popular Dato Seri Aliff Syukri yang dikenali sebagai Iqbal bersama seorang wanita dipercayai isterinya, Intan Nurulhaleda dikatakan telah menipu ramai pelanggan yang membeli pakej pelancongan sebuah hotel mewah di Negeri Sembilan.

Sudah Ditangkap?

Difahamkan beberapa laporan polis telah dibuat, dan turut dikhabarkan antara mangsa-mangsa sindiket penipuan ini termasuklah petugas barisan hadapan dan juga selebriti.

Terbaru, menerusi laporan BERNAMA sepasang suami isteri telah ditahan selepas disyaki terlibat dalam penipuan pakej penginapan sebuah hotel mewah di dalam sebuah serbuan di sebuah penginapan desa di Ampang, dekat sini, pada Khamis lalu. Dengan tangkapan tersebut, warganet turut membuat spekulasi bahawa pasangan yang dimaksudkan adalah Iqbal dan isterinya.

Ramai Jadi Mangsa 

Menurut Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Shafa’aton Abu Bakar, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang bekerja sebagai jururawat sebuah hospital kerajaan pada 13 Sept yang menjadi mangsa penipuan suspek berumur 26 dan 27 tahun itu.

IKLAN

Menurutnya, mangsa mengetahui mengenai iklan tawaran penginapan bermalam termasuk sarapan pagi di sebuah hotel terkemuka di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan harga pakej RM88 hingga RM499 satu malam yang dibuat menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp.

“Mangsa telah menghubungi syarikat suspek dan ditawarkan menjadi ejen dengan komisen sebanyak 10 peratus dengan cara menyebarkan iklan pakej kepada rakan sekerjanya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa turut menerima tempahan daripada 26 rakan sekerjanya dan telah membuat pembayaran lebih RM7,000 kepada akaun syarikat suspek dan diberikan resit tempahan dengan tarikh terbuka iaitu tempahan pada bila-bila masa.

Mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan di hotel terbabit dan tiada tempahan penginapan dibuat oleh syarikat suspek.

“Setakat 25 Sept, kami menerima 30 laporan membabitkan kes yang sama dengan nilai kerugian berjumlah RM26,193,”  jelasnya lagi seperti dipetik menerusi laporan BERNAMA.

Pasangan yang tidak bekerja itu direman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu kerana menipu.

IKLAN