Kumpulan penyanyi lagenda Slam berkongsi khabar gembira apabila mengumumkan mereka bakal adakan sebuah konsert pada awal 2021.
Utamakan SOP
Bekerjasama dengan Shiraz Projects Sdn Bhd selaku penganjur, konsert yang dikenali sebagai Slam Mentari Muncul Lagi itu akan mempersembahkan senarai lagu-lagu hits mereka sepanjang hampir 30 tahun ditubuhkan.
Biarpun umum mengetahui ketika ini dunia sedang dilanda wabak pandemik COVID-19 yang meragut nyawa jutaan manusia, konsert ini akan tetap diteruskan dengan norma baharu selain mengetatkan standard operasi prosedur (SOP) ketika hari konsert berkenaan yang dijadualkan pada 17 Januari 2021 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Percaya Dengan Pengalaman
Bercakap mengenai persiapan mereka, anggota kumpulan Slam, Shah berkata buat ketika ini mereka baru sahaja ingin memulakan latihan dan sebagainya. Biarpun, masing-masing sudah meningkat usia namun mereka percaya setiap daripada anggota Slam mampu melakukannya apatah lagi pengalaman konsert lalu membantu mereka membuat persiapan dalam konsert kali ini.
“Kami baru sahaja menandatangani kontrak. Selepas ini kami akan pilih lagu bersesuaian dan macam stamina apa yang kami boleh katakan terutamanya bagi Zamani selaku vokalis dia selalunya suka buat latihan jadi kami tak risau sangat mengenai dia terutamanya bagi lagu yang dia jarang bawakan dia pasti akan datang awal buat latihan.
Alhamdulillah so far stamina dia macam konsert sebelum ini memang kita pun kagum biarpun sebelum ini dia sakit dan sebagainya, mungkin itu adalah kelebihannya” kata Shah ketika ditemui Murai.my.
Slam yang dianggotai Zamani, Shah, Eddie, Man dan Lili kali terakhir membuat konsert adalah sekitar tahun 2017. Harga tiket bagi Slam Mentari Muncul Lagi bermula RM700 bagi sesi bersama peminat dan diikuti RM360 (Diamond), RM260(Platinum), RM200 (Gold), RM160 (Silver), RM130 (Bronze) yang boleh dibeli di www.myticket.asia.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk kemas kini berita hiburan terkini.