Sejak kebelakangan ini, ramai pula para ‘Influencer’ atau personaliti media sosial yang sangat berbangga berkongsikan keputusan akademik mereka yang teruk namun tetap mampu mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan. Maklumlah, tengah kaya-raya, followers pun juta-juta di media sosial. Tapi harus ingat itu bukan kayu pengukur untuk menjadi seorang idola dan contoh kepada masyarakat.
Tampil menegur sikap ‘influencer’ itu secara terbuka, pelatih pakar bedah Dr Amalina Bakri menerusi Instagramnya tidak bersetuju dengan sikap sebilangan ‘influencer’ mengetepikan ilmu untuk mencapai kejayaan.
“Saya kecewa dengan kenyataan itu. Ilmu itu penting tidak kiralah apa latar belakang anda. Kalau hendak menjadi influencer pun jadilah, tapi ilmu tu mesti ada di dada. Dalam Islam sendiri menggalakkan kita menuntut ilmu sepanjang hayat. Jangan nomalisasikan yang pembelajaran itutidak penting dan jangan menggalakkan anak-anak muda kita memperlekehkan ilmu” – tulis Dr Amalina di IG Storiesnya.
Amalina yang pernah mencatat sejarah dengan kejayaan meraih 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004 terpilih menerima Darzi Academic Clinical Fellowship di Imperial College London.
Amalina sebelum ini pernah tersenarai antara 10 doktor pakar pelatih surgikal terbaik di United Kingdom dan kerajinannya berkongsi maklumat mengenai kesihatan dan kisah harian di media sosial membuatkan gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menjadi idola generasi muda.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.