Serangan pendemik Covid-19 yang hingga kini masih belum ada titik noktah telah meninggalkan impak yang cukup besar buat industri muzik tanah air. Pelbagai acara muzik termasuklah pelancaran album, showcase, konsert, konsert jelajah dan anugerah muzik tidak dapat dilaksanakan.

Inisiatif Untuk Anak Seni

Keadaan ini telah menyebabkan pendapatan artis, pemuzik dan pekerja- pekerja di belakang tabir telah terjejas dengan begitu teruk sekali. Biarpun ada yang mencuba untuk menceburi bidang lain, namun ada juga yang masih lagi menjadikan acara persembahan sebagai sumber pendapatan utama mereka.

IKLAN

Menyedari hakikat ini, Mac Training Centre Sdn Bhd dengan usahasama FunkyBrigade MediaWorks Sdn Bhd, RCD Big Studio dan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah program hiburan secara maya berjudul Salam Dari Maya.

“Pada waktu yang sama, kita juga menyedari bahawa pentingnya hiburan muzik kepada masyarakat dan dalam situasi keadaan sekarang hiburan muzik sangat diperlukan untuk meredakan tekanan masyarakat akibat pandemik Covid-19″

“Alhamdulillah, kesemua artis memberikan respon yang cukup baik. Malah, mereka juga teruja dengan tawaran untuk menjayakan program ini kerana kebanyakannya rindu untuk membuat persembahan,”

“Bertitik-tolak daripada itu, kami terus membuat perancangan untuk menerbitkan program ini tanpa berkompromi tentang soal kualiti muzik dan produksi,” kata Penerbit Salam Dari Maya, Puan Samirah Hambali

Tampilkan 10 Orang Penyanyi Popular

Diterbitkan sebanyak lima episod, Salam Dari Maya yang berkonsepkan permintaan lagu daripada peminat secara visual menampilkan 10 penyanyi tanah air yang hebat iaitu Dato’ Jamal Abdillah, Ziana Zain, Nora, Zamani, Liza Hanim, Amir Ukays, Siti Nordiana, Tomok, Black dan Yamani Abdillah.

Menariknya, setiap episod menampilkan dua orang penyanyi dan bakal ditayangkan di saluran Youtube, Muzik Malaysia.