Cara menghilangkan bau kaki boleh dilakukan dengan hanya menggunakan bahan semulajadi sahaja. Selain itu, anda juga dapat mengelakkan masalah bau kaki ini dengan menjaga kebersihan dan keadaan kaki anda serta makan makanan yang lebih sihat dan berkhasiat.
Kebiasaannya, bau kaki boleh terjadi disebabkan oleh kaki yang lembap dan mudah berpeluh, kerap memakai kasut yang sama setiap hari, perubahan hormon dan jangkitan kulat juga boleh mencetuskan bau yang kurang menyenangkan pada bahagian kaki. Anda juga akan merasa kurang keyakinan diri kerana ianya bukan sahaja mengganggu anda malahan orang yang berada di sekeliling anda. Jika masalah ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kepada keadaan yang lebih serius seperti penyakit kulat kaki dan masalah-masalah lain.
Sebenarnya, untuk menyelesaikan masalah bau kaki ini agak mudah. Di sini kami senaraikan beberapa cara mudah yang kami perolehi dari pelbagai sumber untuk menghilangkan bau kaki.
Namun sebelum anda mencuba beberapa cara di bawah, apa yang penting adalah anda perlu menjaga kebersihan kaki terlebih dahulu. Jom kita tengok bagaimana cara penjagaan pembersihan kaki.
Potong Kuku Secara Rutin Dan Bersihkan Kulit Mati
Kulit mati yang terkumpul dan kuku kaki yang tidak dijaga akan menjadi sarang pembiakan bakteria yang boleh menyebabkan bau kaki. Oleh itu, anda disarankan untuk membersihkan kulit mati setiap hari dengan menggunakan skrub khas untuk kaki.
Kuku kaki juga perlu dipotong secara rutin bagi mengelakkan daripada bakteria terus bersarang di kuku anda. Jangan lupa untuk bersihkan juga bahagain tepi kuku kaki.
Basuh Stoking Dan Kasut Dengan Kerap
Biasanya stoking akan digunakan setiap kali kita mahu menggunakan kasut yang bertutup. Apabila ditutup, lembap dan kurangnya udara, stoking sebenarnya dengan mudah menjadi sarang pembiakan bakteria dan menjadi penyebab bau kaki. Oleh itu, rajin-rajinlah membersihkan stoking dan kasut anda.
Pastikan kasut dan stoking yang telah dicuci, dikeringkan dengan betul. Lebih baik jika pengeringan dilakukan terus di bawah sinaran matahari yang terik bagi mematikan kuman dan bakteria yang tersembunyi.
Basuh Kaki Sebelum Dan Selepas Memakai Kasut
Membasuh kaki sebelum dan selepas memakai kasut akan meminimumkan perkembangan bakteria pada kaki. Pastikan juga anda mengeringkan kaki yang basah sehingga betul-betul kering dan lakukan ini dengan kerap.
Selain dari penjagaan kebersihan, bahan semulajadi ini juga juga boleh digunakan bagi menghilangkan bau kaki. Ianya mudah dan sangat cepat.
Garam
Bahan pertama yang boleh digunakan untuk menghilangkan bau kaki adalah garam. Garam dapat mengurangkan lembapan pada kaki dan mampu untuk membunuh bakteria yang menyebabkan bau kaki.
Caranya sangat mudah, anda hanya perlu campurkan garam dengan 1 besen air suam, kemudian rendamkan kaki anda selama 20 minit. Lakukan kaedah ini setiap hari untuk hasil yang lebih berkesan.
Cuka
Cuka dengan kandungan kadar asid yang tinggi juga berkesan untuk membunuh kuman yang boleh menyebabkan bau kaki. Caranya adalah dengan mencampurkan segelas cuka dengan 1 baldi air. Kemudian rendamkan kaki anda selama 15 minit. Untuk hasil yang lebih baik, lakukan kaedah ini seminggu sekali namun pastikan tidak ada luka terbuka pada bahagian kaki.
Lemon
Lemon juga boleh digunakan sebagai bahan untuk menghilangkan bau kaki. Kandungan anti bakteria dalam lemon dikatakan dapat membasmi bakteria yang menjadi penyebab bau pada kaki. Caranya ialah dengan menyediakan 6 biji lemon yang sudah siap diperah, dan campurkan jus dengan 1 baldi air suam dan rendamkan kaki anda selama 15 minit.
Limau Purut
Hampir sama dengan lemon, limau purut juga mengandungi kandungan asid dan vitamin C yang tinggi. Kedua-dua kandungan ini berguna sebagai agen anti-bakteria yang kuat dan berkesan dalam membasmi bakteria yang menyebabkan bau kaki.
Caranya mudah, potong limau purut kepada 2 bahagian dan sapukan pada seluruh bahagian kaki dengan sekata. Biarkan selama beberapa minit, kemudian bilas dengan menggunakan air suam sehingga bersih.
Kopi
Kopi juga adalah kaedah yang berkesan untuk menghilangkan bau kaki. Caranya hanya mencampurkan kopi dengan air sedikit demi sedikit untuk mendapatkan kepekatan yang boleh dilulurkan pada kaki. Biarkan kering selama 15 minit kemudian bilas dengan air sehingga bersih.
Baking Soda (Serbuk Penaik)
Kandungan yang terdapat pada baking soda mampu untuk meneutralkan pH peluh dan mengurangkan bakteria. Campurkan 1 sudu besar baking soda dalam 1 liter air untuk merendam kaki anda. Rendamkan selama 20-25 minit setiap malam selama 1 minggu. Anda juga boleh menaburkan sedikit baking soda ke dalam kasut sebelum menggunakannya.
Uncang Teh
Bahan lain yang boleh digunakan untuk menghilangkan bau kaki adalah uncang teh. Cukup dengan menggunakan 2 uncang teh dan rebuskan dalam 1 liter air selama lebih kurang 15 minit. Selepas itu, tambahkan 2 liter air yang sejuk dan tuangkan ke dalam tab mandi atau besen yang besar. Rendamkan kaki anda selama 30 minit dan lakukan ini seminggu sekali.
Asid yang dihasilkan dapat menutupi liang pori di kaki sehingga dapat membantu mengurangkan pengeluaran jumlah peluh pada kaki.
Bedak Bayi
Bedak bayi boleh digunakan sebagai kaedah untuk menghilangkan bau pada kaki. Caranya mudah sahaja, anda hanya perlu taburkan bedak bayi pada kaki yang berbau. Ini kerana bedak bayi mampu menyerap peluh agar kaki tidak menjadi lembap. Selain itu, wangian lembut pada bedak bayi juga boleh menjadi wangian untuk kaki.
Ubat Kumur Mulut
Mungkin kedengaran agak pelik jika ubat kumur yang digunakan untuk membersihkan mulut sebenarnya digunakan juga sebagai kaedah untuk menghilangkan bau kaki. Ini kerana ubat kumur memang berfungsi sebagai agen untuk membunuh bakteria. Jadi, ubat kumur juga sesuai digunakan pada kaki.
Caranya ialah dengan mencampurkan sebotol ubat kumur sebanyak 250 ml dengan 1 baldi air. Kemudian rendamkan kaki selama 15 minit.
Selain daripada bahan yang boleh digunakan seperti yang tersenarai diatas, makanan yang diambil juga memainkan peranan yang sangat penting. Elakkan dari mengambil makanan yang boleh mendatangkan bau pada kaki.
Makanan-makanan berempah, daging merah, alkohol, kafein, makanan ringan ini adalah makanan yang boleh mengganggu proses pengeluaran peluh dan peluh yang terhasil juga akan mengeluarkan bau. Oleh itu, cuba elakkan atau kurangkan dari mengambil makanan ini.
Makan makanan yang mengandungi magnesium, ini kerana ianya sangat berguna bagi mengatur peluh pada badan dan kaki agar tidak mengeluarkan peluh secara berlebihan. Makanan bermagnesium tinggi adalah seperti coklat, avocado, tauhu, ikan, pisang dan sayur-sayuran hijau.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.