Industri animasi negara terus mencatatkan pencapaian yang cukup membanggakan. Belum pun ditayangkan, animasi terbitan lokal, Robozeta berjaya mencuri perhatian negara luar apabila dilamar oleh sebuah stesen televisyen antarabangsa.

Dapat Tawaran Luar Negara 

Diproduksikan oleh syarikat Red Circle Studio Sdn Bhd, peluang keemasan itu diraih mereka tatkala seluruh dunia masih kebimbangan berdepan pandemik COVID-19.

IKLAN

Pengarah Robozeta, Muhammad Dzahiruddin Ahmad Zabidi, berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian itu kerana Robozeta adalah sebuah siri baharu yang belum pernah diuji kehebatannya sebagaimana siri animasi popular yang lain seperti Ejen Ali, Upin & Ipin mahupun BoBoiBoy.

“Sebuah syarikat penyiaran TV popular antarabangsa amat berminat untuk menjadikan Robozeta sebagai salah satu program siarannya. Bagaimanapun ketika ini kami masih terikat dengan kontrak bersama pihak Astro Ceria,” katanya dalam satu kenyatan.

Tambah Dzahiruddin lagi, pihaknya mengambil inisiatif sendiri untuk menghubungi syarikat penyiaran dan stesen TV antarabangsa untuk menguji sejauh mana animasi 3D berbahasa Melayu dan bergenre aksi komedi ini mampu mengembangkan pengaruhnya sebagai program kanak-kanak yang relevan untuk tontonan dunia.

“Oleh kerana dunia dilanda penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini, Red Circle Studio tepanggil untuk mengintai peluang mendekati syarikat penyiaran dan pengedar program antarabangsa untuk melihat sejauh mana Robozeta ini mampu diterima negara luar.

“Dengan cara itu, secara tidak langsung mewujudkan hubungan dua hala yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang. Tambahan pula, ketika ini banyak kerja-kerja produksi tergendala akibat pandemik Covid-19 menyebabkan banyak stesen TV ketandusan bahan siaran kerana tiada program baharu. Syarikat penerbitan antarabangsa sememangnya mengalu-alukan kandungan progrom dari luar, bagi menampung kekosongan yang ada,” katanya lagi.

Setanding Karya Antarabangsa 

Bermula dari sebuah pertandingan, sekaligus muncul pemenang program IPCC 2016 MDEC, Red Circle Studio Sdn Bhd mengembangkan Robozeta daripada sebuah projek pilot sebelum mengorak langkah lebih berani menghasilkan siri animasi 13 episod. Difahamkan, syarikat ini memperoleh peruntukan dana hampir setengah juta dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Biarpun boleh dianggap agak kecil berbanding dana diterima produksi lain, Red Circle Studio Sdn Bhd, membuktikan mereka mampu menghasilkan karya setanding antarabangsa.

“Paling istimewa, apa yang membezakan Robozeta dengan adiwira yang pernah mencetuskan fenomena di Malaysia sebelum ini, selain kuasa dan kenderaan istimewa dimiliki kelima-lima adiwira tadi, mereka juga boleh bergabung menjadi sebuah mecha robot.

Dimana idea ini belum pernah diguna pakai dalam penerbitan siri animasi di Malaysia. Kalau di Jepun dan Eropah, Mecha robot ni adalah sesuatu yang biasa tapi di Malaysia, Robozeta adalah yang pertama,” katanya terinspirasi daripada konsep Super Sentai yang popular sekitar 90-an.

IKLAN

Robozeta mengisahkan tentang lima adiwira iaitu Riko, Jango, Rexx, Bepop dan Ely. Dimana kelima-lima Adiwira ini bersatu untuk mempertahankan Zenochip.

Kesemua 13 episod siri animasi yang berdurasi selama 22 minit sudahpun siap sepenuhnya dan hanya menantikan tayangan perdananya pada 19 Disember ini di Astro Ceria, jam 4.30 petang.