Hari ini penyanyi emo-rap popular Yonnyboii melakar sejarah tersendiri apabila tampil dengan sebuah album E.P. yang cukup istimewa berjudul ‘Yonny’, naskah yang akan mengungguli carta-carta muzik tempatan!
Tampil dengan sembilan buah lagu, padat dengan lontaran vokal penuh emosi pastinya akan mengubat kerinduan terhadap peminat Yonnyboii yang menantikan buah tangan bintang pujaan Malaysia ini.
Sarat dengan pelbagai adunan emosi, penyanyi rap cukup terkenal sebagai pelakar melodi ini menyatakan kemunculan album E.P Yonny sebagai hadiah tidak ternilai bukan sahaja buat peminat-peminatnya bahkan sebuah karya mukadimah atau pengenalan dirinya kepada khalayak umum tentang siapakah Yonnyboii sebenar.
Sungguhpun hanya berstatus album E.P, namun album ini sarat dengan pengisian jiwa muzik tulus untuk pendengar memahami gelojak rasa yang harus diteroka dan dihayati dalam setiap bait lirik dan melodi dihasilkan.
“Menerusi album E.P ini saya mengambil kesempatan memperkenalkan diri saya sebenar dengan menyatakan kejujuran setiap lenggok melodi serta pengisian lirik yang terkandung menerusi lagu-lagu saya sampaikan. ” jelasnya.
Sheenta – Yonnyboii karang lagu cinta?
Kemunculan album E.P Yonnyboii menampilkan sisi lain penyanyi kelahiran negeri Perak ini apabila Yonny menggarap elemen cinta dalam lagu ‘Sheenta’, sebuah lagu yang berkisahkan seorang yang sudah angau dan mabuk cinta pada seorang gadis yang telah mencuit hatinya.
“Lagu ini menggambarkan bagaimana seseorang itu mahu meluahkan perasaan yang dipendam terhadap ‘crush’ dan berusaha untuk menawan hatinya. Menerusi lagu Sheenta juga dia mengisytiharkan rasa cinta pada buah hatinya itu dengan penuh rasa ikhlas dan tulus,” jelasnya tersenyum.
Apa yang menarik lagi, terdapat dua versi lagu Sheenta iaitu versi asal dan versi penampilan bersama bakat baru, Shee (Instagram – @sheeofficiall), sosial media influencer yang turut menyumbang suara dalam lagu cinta luar biasa ini.
Berbeza dengan lagu-lagu hits garapannya, Sheenta pastinya akan menjadi batu pengukur terhadap kehebatan Yonnyboii menghasilkan karya secara versatile mengikut acuannya sendiri. Dengarkan, dan nilai sendiri!
“Harapan saya tidaklah terlalu tinggi, saya cuma minta pendengar menghayati sendiri setiap karya terhasil untuk mengenali siapa Yonnyboii. Setiap album baik album E.P sekalipun terkandung kisah perjalanan cerita hidup saya diterjemahkan dalam bentuk muzik, tersusun rapi untuk dikongsi secara eksklusif kepada pendengar-pendengar yang sentiasa menyokong saya. There’s story behind everything!” bicaranya lanjut dengan cukup teruja.
Album E.P berjudul ‘Yonny’ mengandungi sembilan buah lagu hebat Yonnyboii diterbitkan oleh syarikat rakaman Universal Music Malaysia dan Def Jam Malaysia boleh didengari semua pelantar muzik bermula 18 Disember 2020. Anda dah sedia untuk dipukau oleh Yonnyboii?
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk kemas kini berita hiburan terkini.