Ramai selebriti Bollywood yang telah memilih untuk mengakhiri zaman solo mereka pada tahun 2021 yang lalu. Namun, antara ramai-ramai selebriti Bollywood tersebut, terdapat beberapa majlis perkahwinan yang paling menyerlah dan menjadi perhatian serta sebutan peminat.
Menjelang penghujung 2021 yang lalu, semua mata tertumpu kepada perkahwinan selebriti Bollywood ini antaranya Vicky Kaushal dan Katrina Kaif yang telah berlangsung di Rajasthan. Bintang Sooryavanshi itu telah melangsungkan perkahwinan mereka di Six Sense Resort, Fort Barwara di Sawai Madhopor.
Majlis pasangan ini dikatakan telah dihadiri oleh kira-kira 120 orang tetamu untuk upacara Sangeet pada 7 Disember, diikuti dengan upacara Mahendi pada 8 Disember dan majlis resepsi mereka yang telah berlangsung pada 9 Disember 2021.
Selain dari pasangan ini, kami juga ada ringkaskan 5 lagi selebriti Bollywood yang sangat menyerlah dan telah mendapat perhatian di mata peminat. Siapakah mereka? Jom kita tengok!
1. Varun Dhawan dan Natasha Dalal
Perkahwinan selebriti Bollywood 2021 dimulakan dengan perkahwinan pelakon kacak Varun Dhawan dan kekasih dari zaman kanak-kanaknya iaitu Natasha Dalal. Majlis yang diadakan secara gilang gemilang itu telah berlangsung pada 24 Januari 2021. Perkahwinan ini mendapat perhatian ramai kerana Varun Dhawan dan Natasha Dalal adalah pereka fesyen yang telah sangat terkenal dan mereka mengenali antara satu sama lain sejak kecil dan telah menjalinkan hubungan percintaan selama bertahun-tahun.
Pasangan itu berkahwin di The Mansion House, Alibaug dengan senarai tetamu yang terhad dan mengikut protokol Covid-19 yang telah ditetapkan. Karan Johar dan Manish Malhotra juga turut menghadiri majlis tersebut.
“Cinta seumur hidup baru sahaja rasmi,” tulis Varun Dhawan sambil mempamerkan gambar perkahwinannya di instagram.
2. Dia Mirza dan Vaibhav Rekhi
Perkahwinan pelakon Bollywood Dia Mirza juga turut menjadi perhatian umum. Pelakon Sanju itu telah berkahwin dengan seorang ahli perniagaan yang bernama Vaibhav Rekhi pada 15 Februari 2021 dalam satu majlis tertutup yang dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat. Dikatakan, Dia Mirza sebelum ini pernah berkahwin dengan penerbit filem, Sahil Sangha namun bercerai pada tahun 2019 selepas 11 tahun hidup bersama.
Dia Mirza dan Vaibhav Rekhi telah menyambut kehadiran anak pertama mereka yang bernama Avyaan Azaad Rekhi. Pelakon Rehna Hai Terre Dil Mein itu juga mendedahkan bahawa anak mereka dilahirkan pramatang pada 14 Mei, dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
3. Yami Gautam dan Aditya Dhar
Pelakon Bollywood Yami Gautam telah memilih untuk berkahwin dengan seorang pengarah terkenal, Aditya Dhar pada 4 June 2021 yang lalu. Aditya Dhar terkenal sebagai pengarah filem pada tahun 2019 iaitu Uri: The Surgical Stripe, dimana Yami Gautam dan Vicky Kaushal membintangi filem tersebut.
Pengumuman perkahwinan pasangan ini di instagram telah mengejutkan ramai orang. Pasangan ini memilih untuk mengadakan majlis pernikahan mereka di Mandi, Himachal Pradesh dihadapan 20 orang tetamu yang hadir.
“Sebagai orang yang sangat berahsia, kami meraikan majlis yang meriah ini bersama keluarga terdekat,” kata kedua-duanya dalam satu kenyataan bersama.
4. Rhea Kapoor dan Karan Boolani
Perkahwinan selebriti Bollywood 2021 yang seterusnya yang juga menjadi perhatian ramai adalah pasangan Rhea Kapoor dan Karan Boolani. Rhea Kapoor merupakan anak kepada pelakon hebat Bollywood, Anil Kapoor dan adik kepada Sonam Kapoor. Rhea Kapoor secara rasminya telah berkahwin dengan kekasih lamanya, Karan Boolani pada 14 Ogos 2021 di kediaman bapanya di Juhu, Mumbai. Majlis perkahwinan mereka telah dihadiri oleh ahli keluarga yang terdekat serta sahabat handai.
5. Rajkummar Rao dan Patralekhaa
Perkahwinan selebriti Bollywood yang terakhir adalah perkahwinan pasangan Rajkummar Rao dan Patralekhaa juga turut menjadi perhatian. Pasangan ini dikatakan telah mnejalinkan hubungan percintaan sebagai pasangan kekasih selama 11 tahun sebelum mereka memutuskan untuk disatukan pada 15 November 2021 yang telah berlangsung di Chandigarh. Kedua-duanya pernah muncul dalam filem Citylights arahan Hansal Mehta pada 2014 dan turut muncul dalam rancangan Web Bose: Dead/Alive.
“Akhirnya selepas 11 tahun, percintaan, persahabatan, dan keseronokan saya telah berkahwin dengan jodoh saya, kawan baik saya, keluarga saya. Hari ini tiada kebahagiaan yang lebih besar untuk saya selain saya dipanggil suami kepada awak @patralekhaa. Ini adalah untuk selama-lamanya,” kata Rajkummar Rao di instagram yang dibanjiri komen pujian dari peminat mereka.
Itulah antara 5 perkahwinan selebriti Bollywood sepanjang tahun 2021 yang paling menyerlah selain dari perkahwinan pasangan Katrina Kaif dan Vicky Kaushal. Antara mereka ini, siapakah yang menjadi idola anda?
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.