Cef Naem kini semakin dikenali ramai apatah lagi terus diberi kepercayaan untuk menerajui program masakan di beberapa buah stesen televisyen.
Ibu Tolong Daftar Hero Oven
Di sebalik portfolio nya yang bergelar cef selebriti dan sebaris dengan nama-nama cef terkenal, Naem punyai kisah tersendiri mengenai awal pembabitannya dalam dunia kulinari.
Menurut Naem atau nama sebenarnya Muhammad Naim Ramli,31, ibu yang tercinta merupakan figura yang bertanggungjawab membawanya pergi dengan lebih jauh dan berjaya pada hari ini.
“Semasa di Hero Oven, ibu yang daftarkan saya. Di pusingan ujibakat yang dihadiri oleh hampir 400 orang, saya seorang sahaja yang bawa ibu dan bapa.
“Sebelum itu, dia ada cakap “Ibu teringin nak tengok anak masuk TV. Ada program masak-masak dan buat kek. Boleh buat ke?”
“Tetapi saya balas untuk video ujibakat itu kena rakam video dan edit. Siapa nak buat semua itu? Esoknya dia tunggu saya balik dari kerja lewat malam terus cakap “Ibu dah ada team”
“Abang saya tukang edit dan adik saya tukang rakam. Bila dah macam itu tak akan pula saya nak tolak apabila mereka beri sokongan yang sangat mengalakkan
“Ketika itu saya masih malu untuk beraksi di hadapan kamera dan sentiasa tunduk ke bawah. Bila saya bawa ibu bapa,saya berasa lega sedikit. Satu saya masuk sebab ibu saya, kedua saya memang minat memasak jadi bila dah terpilih saya memang serius dan berkat doa ibu, Alhamdulillah semuanya berjaya” katanya kepada Murai.my
Bekerjasama Dengan Le Meridien Putrajaya
Naem ditemui pada sesi pratonton bufet Ramadan Le Meridien Putrajaya yang bertemakan Destinasi Rasa. Jelas Naem dia telah dipilih untuk menjadi ‘wajah’ kepada salah sebuah rangkaian hotel antarabangsa itu sepanjang bulan Ramadan akan datang.
Juara program Hero Oven musim pertama itu turut akui berasa terharu dengan tawaran tersebut dan menyifatkan impiannya kini menjadi realiti.
“Ini salah satu impian saya yang boleh katakan akhirnya tercapai. Bagi saya ini adalah satu pencapaian yang tertinggi apatah lagi bekerjasama dengan jenama antarabangsa seperti ini. Bukan senang dapat tawaran seperti ini apatah lagi saya masih baru dan banyak benda yang saya kena belajar.
“Alhamdulilah mungkin rezeki mak, keluarga saya dan mereka yang baik-baik doakan saya. Bila dapat peluang ini memang saya buat sehabis baik” kata Naem