Pernah menutup salun miliknya, pendandan rambut terkenal, Chez Hamdan tidak menyangka pertemuan usahawan dan artis, Erna Elliyana Rosli kembali membakar semangat untuk meneruskan kecintaannya yang terbantut dek situasi pandemik COVID-19.
Lalu, wujudlah perkongsian pintar atau ‘smart partnership’ di antara dua usahawan bumiputera berkenaan menerusi kehadiran salun pelbagai tarikan dipanggil ChezKamya Professional berlokasi di Lot A- 1-11, Sentul Point, Jalan Sentul Pasar.
Salun berkenaan mula beroperasi secara rasmi pada 20 Ogos lalu. Bagaimanapun pelancaran salun itu bertemakan ‘Retro’ dikendalikan Ikhwan Rosli berlangsung meriah 9 September lalu.
Chez, 36, atau nama penuhnya, Halimi Hamdan mempunyai pengalamannya lebih 10 tahun di dalam industri kecantikan rambut.
Manakala Erna, 34, pula merupakan angkatan artis cilik era 1990-an yang semakin dikenali dengan kepelbagaian produk makanan tambahan untuk kecantikan, Kamya Glow.
“Saya bersyukur pertemuan dengan Erna membuahkan semangat baharu untuk saya kembali membuka salun kecantikan. Ini bukan projek jangka pendek, tapi kerjasama selama-lamanya. Insya-Allah.
“Baik saya dan Erna juga akan menjual produk kami masing-masing. Bahkan disediakan pusat pembelajaran kepada yang berminat untuk belajar membuat rawatan kecantikan rambut.
“Di salun ini, kami menawarkan perkhidmatan yang profesional dengan hasil yang cantik dan kacak. Kami juga menawarkan tempat yang eksklusif supaya pelanggan akan berasa gembira apabila berkunjung ke salun kami,” kata Chez.
Dengan keluasan 3,600 kaki persegi, salun ini menyediakan ruang pelanggan yang dilengkapi 15 tempat duduk.
“11 di tempat awam atau terbuka. Selain dua di bahagian VIP. Manakala baki dua lagi di ruangan muslimah untuk wanita bertudung.
“Ruang VIP dikhususkan kepada pelanggan yang mahukan privasi, keselesaan dan juga layanan eksklusif kerana pelanggan turut dihidangkan secangkir kopi serta makanan ringan.
“Turut disediakan ialah ruang menunggu yang selesa dan bilik solat,”kata Chez.
Antara selebriti yang sering mendapatkan khidmat dandanan rambut daripada Chez seperti Nad Zainal, Norman Hakim, Hairul Azreen, Shiha Zikir dan ramai lagi.
Bukan sekadar sebuah salun rambut biasa, salun ini merupakan sebuah pusat sehenti yang turut menitikberatkan kecantikan dan kesihatan rambut baik dari segi produk mahupun perkhidmatan yang disediakan.
Kata Erna lagi, di salun itu ditawarkan pelbagai perkhidmatan.
“Selain perkhidmatan potong rambut, turut ditawarkan tatarias rambut, ‘relaxing and rebonding’, rawatan Keratin Brazilian, merawat dan memperbaiki struktur rambut, spa rambut dan macam-macam lagi.
“Pelanggan digalakkan untuk terlebih dahulu membuat janji temu dengan pihak ChezKamya Professional dengan menghubungi 03-48104833 bagi mendapatkan sebarang perkhidmatan di sini. Atau maklumat lanjut di Instagram @Chezkamya.professional.
“Harga yang ditawarkan di ialah antara RM350 hingga RM700. Waktu operasi setiap hari dari jam 11 pagi ke 9 malam,” kata Erna yang sebelum ini pernah menyertai pertandingan nyanyian seperti Sinaran Pasport Kegemilangan 2000, Malaysian Idol 2004, One In A Million 2006 dan berlakon dalam beberapa drama serta filem tempatan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk kemas kini berita hiburan terkini.