Melancong ke mana kita kali ini? Adakah Melbourne yang kamu fikirkan? Kalau ya, ohhh kita sama kerana penulis baru sahaja pulang dari Melbourne dan macam-macam benda ingin dikongsikan kepada pembaca semua.
Penulis ke sana selama 6 hari 4 malam, jadi bayangkan saja bertapa banyak tempat pelancongan yang sempat penulis kunjungi.
Sebelum penulis kongsikan lebih banyak tentang tempat menarik yang penulis pergi, nak beritahu bahawa AirAsia X telah membuka laluan penerbangan ke Australia, selepas dua tahun berehat akibat pandemik Covid-19.
Tidak hanya Melbourne, AirAsia X turut membuka laluan ke Sydney, Perth dan Auckland, New Zealand melalui Sydney. Jadi, kamu yang dah ‘gatal’ kaki nak melancong, inilah masanya.! Harga AirAsia tak perlu cakap, berpatutan dan kalau ada promosi, berbaloi-baloi.
Jadi, kita tunggu apa lagi. Mari mulakan perjalanan yang tidak akan dilupakan ini.
Hari Pertama
Perjalanan 8 jam tentu sekali memenatkan, dengan berdepan pegawai imigresen satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Tetapi sebaik sahaja melangkah keluar, penulis terus rasa teruja melihat warga tempatan di sana. Orang kulit hitam, putih dan pelbagai lagi etnik membuatkan penulis sedar dari mimpi yang penulis sekarang berada di Melbourne. (dua tahun tak melancong ke negara luar)
Rasa penat terus hilang bila penulis disediakan secawan kopi latte dan coklat panas dari penganjur Visit Victoria dan AirAsia. Cukup mengasyikkan rasa kopi latte yang panas dengan cuaca sejuk Melbourne.
Keluar dari lapangan terbang, penulis menaiki bas mini dari Explore Australia yang akan membawa penulis dan rakan media lain mengelilingi pelosok Geelong, Sorrento, Mornington Peninsula dan Melbourne.
- Geelong Waterfront
Perjalanan yang memakan masa sekitar 45 minit akhirnya tiba di lokasi pertama iaitu Geelong Waterfront. Walaupun mentari terik di atas kepala tetapi cuaca sejuk berangin Geelong ini tidak membuatkan penulis rasa hangat sekali.
Untuk menikmati keindahan Geelong Waterfront, kamu kena berjalan sambil menghirup udara segar. Di sepanjang perjalanan, kamu dihidangkan dengan kapal mewah, air pantai yang mendamaikan, warga tempatan yang berlibur sesama mereka dan haiwan peliharaan, ferris wheel dan replika ‘orang’.
Nak cerita, replika ini diperbuat daripada tiang kayu lama dari jeti Yarra Street yang dirobohkan, Geelong Bollards adalah sejarah visual bandar.
Dicipta oleh artis tempatan Jan Mitchell, terdapat lebih 100 daripada watak-watak berwarna-warni menyusuri laluan sepanjang 3 kilometer di sepanjang Corio Bay. Dan setiap bollard menceritakan kisah tentang orang yang memainkan peranan dalam sejarah bandar.
- Mini Golf Driving Range Challenge @ Curlewis Golf
Selepas itu, kami dibawa untuk ‘berentap’ dalam sukan golf. Hah, ada bakat bermain golf? Inilah masanya nak asah bakat yang tersembunyi selama ini. Kalau datang bercuti seisi keluarga kena cuba meluangkan masa bermain golf di sini.
Curlewis dianggap sebagai salah satu padang golf awam yang paling progresif dan menarik di Australia dan ia disenaraikan dalam 50 padang golf terbaik di Australia.
The Range @ Curlewis terdapat 18 bay untuk bermain golf, akademi mengajar, padang Mini Golf dua tingkat serta tempat makan sepanjang hari. Mini Golf diserikan dengan desiran air, batu dan terowong sambil kamu mengharungi padang golf mini dua tingkat itu yang membuatkan kita leka bermain.
Info lanjut, klik di sini.
Hari Kedua
Selepas bermalam di R Hotel Geelong, sepatutnya kami dibawa menyaksikan hidupan liar seperti ikan lumba-lumba dan anjing laut, tapi memandangkan cuaca berangin yang tidak mengizinkan, pengalaman menaiki feri pula yang tempuh.
Merentas Sorrento menaiki feri membolehkan kamu menikmati keindahan lautan Sorrento yang membiru sambil menghirup udara segar satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Sebuah feri dengan muatan berat boleh membawa kenderaan seperti bas mini, kereta dan motorsikal. Jadi, ke mana kita kali ini?
- Arthurs Seat Eagle (Gondola Ride)
Perjalanan kira-kira 40 minit, kami sampai ke destinasi pertama Arthurs Seat Eagle. Menaiki gondola naik ke ketinggian Mornington Peninsula dengan pemandangan indah merentasi Port Phillip Bay ke arah Melbourne, sekitar pantai dan seterusnya.
Dinamakan sempena penghormatan kepada burung helang, pengalaman melalui kawasan yang penuh dengan sejarah dan dikelilingi alam sekitar. Meluncur dan melepasi pokok di dalam kabin yang selesa dengan cuaca dngin mengasyikkan, cukup menyeronokkan sekali.
Nak beli tiket atau pertanyaan lanjut, lawati laman web mereka.
- Peninsula Hot Springs
Bila seharian berjalan menikmati keindahan, makanan yang sedap, badan pun mula terasa tidak ‘sedap’, pssttt.. nak beritahu Melbourne ada kolam air panas yang bikin penulis lemah longlai.
Peninsula Hot Springs bukan kolam air panas yang biasa-biasa, kerana di sini macam-macam aktiviti boleh kamu lakukan. Merupakan kolam air panas semula jadi dan spa di siang hari yang memenangi anugerah, hanya 90 minit dari Melbourne. Air mineral semula jadi mengalir ke dalam kolam dan mandian peribadi di oasis, ia juga menyediakan persekitaran yang indah untuk bersantai dan rejuvenasi.
- Bath House ialah kawasan mandian awam dan menampilkan lebih 50 pengalaman menakjubkan. Ini termasuk kolam gua, refleksologi, hamam Turki dan kolam atas bukit dengan pemandangan 360 darjah.
- Bath House Amphitheatre pula merangkumi tujuh kolam geoterma, sebuah gua ais, sauna, pentas terbuka, kafe dan pusat kesihatan.
- Spa Dreaming Centre merupakan ruang direka untuk tetamu berumur 16 tahun ke atas. Satu ruang yang menenangkan yang memberi pengalaman seperti kolam mineral terma, kolam sejuk, pancuran mandian, sauna tradisional, hamam Maghribi, spa Zen Chi, sauna inframerah dan ruang istirehat di tepi kolam.
Nasihat DIVA, kalau datang berkunjung ke sini, kena habiskan satu hari untuk menikmati setiap pengalaman baru yang disediakan.
Klik link ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang kolam air panas.
Hari Ketiga
Selepas bermalam di Rye Hotel, hari ketiga, penulis dan rakan media lain akan ke bandar Melbourne pula. Dah kata pergi Melbourne, jangan dilupa dengan bandar yang penuh dengan seni jalanan berwarna-warni, yang memberi kebebasan kepada rakyatnya untuk bersuara.
Di Melbourne, terdapat pelbagai tempat menarik, tetapi dua yang ingin highlight adalah Brighton Bathing Boxes dan South Melbourne Market Tour.
- Brighton Bathing Boxes
Pelik kalau tidak ke tempat popular yang sangat #InstagramWorthy iaitu Brighton Bathing Boxes. Pondok rumah yang berwarna-warni yang menceriakan hari kita sambil menikmati udara dan air laut segar.
Mungkin ada di antara kita yang pernah datang ke sini, tapi tahu tak kisah di sebalik pondok rumah tersebut?
82 pondok kayu yang dibina pada awal 1900-an, masih mengekalkan ciri-ciri seni bina zaman Victoria dengan rangka kayu, papan cuaca dan bumbung besi beralun. Tetapi diubah sedikit dengan ciri-ciri hiasan artistik dan berwarna-warni pemegang lesen individu.
Katanya lagi dengan hiasan tersendiri, pondok-pondok itu menjadikan tepi laut Brighton sebagai pemandangan pantai ikonik yang boleh dikenali serta-merta yang boleh berubah mengikut musim, cahaya dan warna.
- South Melbourne Market Tour
Makanan laut segar, aneka kekacang organik, keju berlemak yang turun menurun, aneka pastri yang panas dari ketuhar, wain organik, jenama pakaian tempatan dan macam-macam lagi, semuanya ada di South Melbourne Market.
South Melbourne Market terletak di tepi jalan Cecil dan Coventry berusia lebih 150 tahun. Mempunyai kira-kira 150 gerai yang dioperasi pernigaan kecil, pasar ini menjual pelbagai jenis barangan Australia yang asli, seperti pakaian, barang kemas, buahan-buahan, makanan kering dan ikan.
Di luar pula tersedia gerai yang menjual pelbagai hidangan panas yang cukup menyelerakan. Gerai ini sentiasa sibuk melayan pelanggan tempatan dan pelancong yang ingin mencuba makanan mereka. Memang tak menang tangan melihat mereka bekerja. DIVA sempat makan tengahari di Claypots Evening Star, hidangan panas makanan laut segar dalam kuantiti besar yang mengenyangkan sekali.
Pasar dbuka pada 8 pagi, ditutup pada 2 petang Rabu, 6 petang Jumaat dan 4 petang pada hujung minggu. Ia ditutup pada hari Isnin, Selasa dan Khamis.
Hari Keempat
Di Melbourne, kami menginap di Rendezvous Hotel. Nak tahu hotel dibina pada tahun 1913 sebagai Kelab Pengembara Komersial, Rendezvous Hotel Melbourne ialah bangunan tersenarai warisan yang telah dipulihkan dengan teliti kepada kemegahan asalnya. Terletak di tengah-tengah Melbourne, Rendezvous Hotel terletak betul-betul di stesen Flinders Street, kedai-kedai, kafe dan restoran. Memang senang nak ke sana sini bila menginap di hotel ini.
Sebelum ini, kami menaiki bas mini ke setiap lokasi tarikan pelancong, kali ini berjalan kaki pula. Aktiviti pagi yang disediakan oleh Visit Victoria ialah melihat sisi Melbourne dengan dekat sekali, orang kata ‘travel like a local’ kita cuba kenali mereka.
Bandar Melbourne juga menempatkan muzium, teater, bar, kedai dan kafe. Susun atur grid Melbourne menjadikannya bandar yang mudah dilayari dengan kebanyakan tarikan dalam jarak berjalan kaki. Pilihan pengangkutan termasuk kereta api, tram, bas atau basikal. Tetapi DIVA dan beberapa rakan media lain telah memilih untuk berjalan kaki bagi merasai suasana orang tempatan di sini.
- Laneways & Arcades Tour
Jika kamu memilih untuk berjalan kaki, kamu boleh mengikuti lawatan Lanes and Arcades, Coffee Lover Walk dan Melbourne Street Art.
Untuk Lanes and Arcades, pengenalan unik kepada budaya laluan lorong Melbourne dengan lawatan rahsia yang tersembunyi. Di sini, kamu boleh lihat beberapa seni awam yang terkenal di bandar dan pelajari sedikit sejarah Melbourne yang menarik sepanjang perjalanan.
Sambil meneroka lorong Melbourne, kita akan mengharungi kafe-kafe aesthetic yang memikat mata. Inilah masanya untuk mencuba sendiri kopi terbaik, berbual tentang pembuatan kopi dengan barista, malah mengetahui lebih mendalam akan budaya kopi di Melbourne.
Berjalan lagi, kamu dapat menempuhi perjalanan seni jalanan yang cukup hype di Melbourne. Nak tahu, ada sesetengah jalan membolehkan kamu bebas melakar apa sahaja buah fikiran, dan ada juga terhad untuk artis yang berlesen. Menerusi lawatan ini, kamu dapat temui artis yang terbabit, apakah aspek teknikal yang disertakan dalam lukisan semburan, seni stensil dan tampalan. Malah, apakah peranan penting yang telah dibuat oleh artis, menjadikan Melbourne sebagai salah satu destinasi terpenting dalam dunia seni jalanan.
Asyik bercerita tentang tempat tarikan pelancong, di mana pula restoran, atau tempat-tempat makan yang best di Melbourne. Nantikan artikel seterusnya. Memang tak rugi melancong ke Melbourne melalui AirAsia X.
Nak buat tempahan tiket atau mengetahui info lanjut penerbangan ke Melbourne, klik www.airasia.com. Selamat Melancong!
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.