Tiada siapa yang mahu dirinya jatuh sakit. Apabila kesihatan terjejas, maka rutin harian juga akan terkena tempiasnya.
Pasti banyak kerja yang akan tertangguh atau langsung tidak dapat dilakukan. Malah, ia juga mungkin menyukarkan untuk kita melakukan ibadah sunat yang biasa dilaksanakan.
Namun, jika sedang diuji dengan kesakitan, maka pergilah mendapatkan rawatan daripada mereka yang pakar. Pada masa sama, usah mengeluh dengan ujian itu. Sabar adalah sebaik-baik tindakan.
Siapa tahu, barangkali dengan kesakitan itu akan menyebabkan dosa-dosa kita terhapus. Wallahuaklam.
Pada zaman milenial ini, pelbagai jenis penyakit yang datang ‘menyerang’ masyarakat tanpa mengenal usia.
Antara penyakit yang biasa kita dengar ialah darah tinggi, kencing manis, jantung, batu karang, gout, strok, buah pinggang, barah, ketumbuhan, senggugut dan macam-macam lagi.
Begitupun, ketahuilah, tiada penyakit yang tiada penawarnya kecuali mati.
Berbahas soal ini, baru-baru ini pelakon veteran, kri, 69, bersyukur dia tidak mengalami masalah kesihatan kronik selepas dirawat hampir seminggu di hospital akibat jangkitan kuman dalam saluran kencing, Jun lalu.
Jalaluddin berkata, dia kini sudah pulih sepenuhnya dari jangkitan kuman itu.
“Doktor beri antibiotik dan saya juga teruskan rawatan untuk usus di hospital dan masalah tidak lawas buang air besar,” katanya.
Jalaluddin berkata, pada usia emas kini, dia juga perlu menjaga pemakanannya.
“Maklumlah, pada usia 69 tahun, saya perlu menjaga pemakanan dan tidak boleh minum ais dan minuman bergas. Doktor juga minta saya banyak minum air putih (air masak) dan lebihkan makan buah-buahan,” katanya.
Pada masa sama, kata Jalaluddin, dia akan terus pulang ke rumah selepas selesai penggambaran.
Jalaluddin berkata, selain berehat, dia juga suka membaca al-Quran bagi membantu daya ingatannya lebih cergas dan tidak mudah lupa, lebih-lebih lagi sebagai pelakon dia perlu menghafal skrip.
“Selain beri ketenangan jiwa, rezeki kita pun murah. Kalau sehari tidak mengaji, saya berasa hidup tidak lengkap.
“Bila jatuh sakit tu sebenarnya, Allah SWT nak bagi saya rehat dan saya banyak mengaji al-Quran untuk terapi diri,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri lapan episod berjudul Entitled.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk kemas kini berita hiburan terkini.