Bintang Hollywood, Tan Sri Michelle Yeoh, 60, pulang ke kampung halaman di Ipoh, Perak, meluangkan masa bersama keluarga selepas sibuk dengan kerjaya lakonan sejak awal tahun lalu.
Yeoh dalam hantarannya di Instagram (IG) kelihatan seperti ‘melepas geram’ untuk menikmati makanan tempatan yang dirindui selain bertemu sanak-saudara termasuk ibu, Datin Janet Yeoh.
“Ipoh. Sayang ibu dan semestinya dia memberi saya makan dan juga adik-beradik saya,” katanya.
Pada akhir bulan lalu, Yeoh akhirnya sah berkahwin dengan pasangan, Jean Todt, 77, di Geneva, Switzerland selepas lebih 20 tahun bersama.
Namun, suaminya tidak kelihatan ada bersamanya di Ipoh ketika ini.
Pelakon Asia pertama mencipta sejarah menang trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 itu dan Todt mengikat tali pertunangan pada 26 Julai 2004.
Bagaimanapun, Janet mengaku tidak dimaklumkan mengenai majlis perkahwinan itu. Namun, Janet menganggapnya sebagai kejutan dinanti-nantikan ramai termasuk dirinya kerana tahu betapa Todt cintakan Yeoh.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.