Penyanyi popular, Zamani mengakui pernah menelan 20 biji pil panadol ketika berdepan episod hitam dalam hidupnya sebelum ini.
Zamani yang juga penyanyi kumpulan Slam berkata, dia berharap kesilapan yang dibuat itu dapat dijadikan iktibar buat semua.
“Maaf cerita, saya mahu perkara ini jadi ikhtibar. Semua orang ada lalu zaman mereka tunggang terbalik. Waktu itu saya rasa diri saya macam ‘useless’ (tak berguna). Rasa hidup macam tak ada guna.
“Pada waktu itu semuanya diuji. Dari segi kerjaya, arwah mak saya pergi, kereta hilang dan banyak lagi. Saya percaya sebab benda ini datang, mesti ada kita tersilap atau apa.
“Jadi pada waktu itu, saya fikir memang tak boleh. Nak kelar tangan ke? Saya memang patut bersyukur, patut minta ampun dengan perbuatan itu kan?” katanya ketika ditemubual dalam satu program hiburan.
Zamani berkata, ketika itu dia seperti tidak berfikir panjang dan mengakui menemui jalan buntu selepas diduga dengan ujian bertimpa-timpa.
Zamani juga berharap kesilapannya tidak diulangi oleh mana-mana individu.
“Selepas tersedar, saya bersyukur masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan. Malah, saya menjadikan apa yang berlaku sebagai ruang untuk memperbaiki kesilapan diri.
“Kaji balik masalah-masalah yang saya hadapi ketika itu, selesaikan secara perlahan-lahan. Alhamdulillah, rezeki pun semakin masuk. Kuncinya adalah kita harus yakin saja,” katanya.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.