Suatu ketika dahulu, jejaka berusia 30 tahun ini pernah viral gara-gara lagu yang dihasilkan berjudul Pisang Goreng. Dikenali dengan nama Sid Murshid, penyanyi dan ‘content creator’ ini juga terpalit dengan kontroversi aksi “High Five”-nya dengan pengacara Hawa Rizwana.
Mana tidaknya, ramai peminat kurang senang melihat kemesraan mereka berdua ini ketika membuat video content masakan.

‘i x Kesah’
Namun, kali ini Sid kembali menarik perhatian peminatnya dengan mempertaruhkan single dan video muzik terbaharunya bertajuk ‘i x Kesah’ di sebuah sesi pelancaran yang berlangsung di Loud Speaker, Datum Jelatek Mall, baru-baru ini.
Mungkin ada yang tidak tahu, Sid bukan lah asing dalam dunia muzik. Siapa sangkan dia juga merupakan penulis lagu ‘Hiasi Duniaku’ dendangan penyanyi nombor satu negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza. Bukan kaleng-kaleng ya!
MURAI berkesempatan bertanya sendiri kepada penulis lagu ini sendiri tentang kisah disebalik lagu ini. Sid berkata, lagu ini menyampaikan meseja tentang betapa pentingnya setiap individu itu perlu menyayangi diri sendiri sebelum mengutamakan orang lain.
“Melalui lagu ‘i x Kesah’ yang bergenre pop ini, saya ingin menyampaikan sebuah mesej tentang betapa pentingnya setiap individu itu perlu menyayangi diri sendiri sebelum mengutamakan orang lain. Dengan itu, saya berharap lagu ini menjadi inspirasi kepada orang ramai yang kadang-kadang lupa untuk menghargai diri sendiri.
Lagu ini merupakan buah tangan untuk mereka yang sentiasa bertanya mengenai lagu baharu saya, dan saya juga berharap ia akan mendapat sokongan dan tempat di hati para peminat seperti lagu-lagu sebelumnya iaitu ‘Lelah’, ‘Biarkan’, ‘Rakaman’, dan banyak lagi,” kata penyanyi versatil ini lagi.
Tidak Menolak Untuk Menyertai Pertandingan Nyanyian
Sid akui kandungan mempamerkan bakat masakan di laman TikToknya sering mendapat sambutan dan membuatkan dia dikenali. Namun akan tetapi muzik dan nyanyian masih merupakan keutamaannya. Dia berharap dengan lagu ‘i x Kesah’ ini dapat kembali menjenamakan Sid Murshid sebagai seorang penyanyi kepada orang ramai.
Bertanya mengenai perancangan masa depan dalam dunia nyanyian, Sid tidak menolak sekiranya dia ditawarkan untuk menyertai mana-mana pertandingan di Malaysia untuk mempamerkan bakatnya.
Lagu ‘i x Kesah’ merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Sid Murshid, manakala lirik lagunya pula adalah hasil nukilan Izi Faizal dan penyanyi ini sendiri. Berkisarkan perasaan serik menunggu cinta untuk dibalas, ‘i x Kesah’ menggambarkan suara hati seseorang yang akhirnya memilih untuk tidak mengambil peduli dan membazirkan tenaga dengan berhenti mengejar sebuah kisah percintaan yang belum tentunya akan berlaku.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk kemas kini berita hiburan terkini.