Penyanyi juga anggota bomba, Syafiq Farhain menjadi perhatian di media sosial apabila dia dikatakan kini menyertai kumpulan Iklim sebagai vokalis apabila suaranya cukup sinonim dengan Allahyarham bapanya, Saleem Iklim.
Menerusi hantaran pemilik akaun TikTok dikenali Kamarul Ab Rahman, dia berkongsi foto Syafiq bersama empat ahli kumpulan Iklim yang lain iaitu Mohalim, Umarul, Huzali dan Kama.
“Iklim 2023… Umarul (gitar), Huzali (keyboard), Mohalim (ketua/bass), Kama (dram) dan Syafiq (vokalis),” tulisnya ringkas sebagai kapsyen.
Didapati juga, vokalis Iklim iaitu Azmani yang difahamkan mengganti posisi arwah Saleem sebelum ini tiada di dalam hantaran foto itu yang berlatar belakangkan lagu Iklim, Firasat Kasihku.
Meninjau juga di ruangan komen, rata-rata netizen meninggalkan komen positif dan kata-kata semangat yang menyokong pembabitan Syafiq bersama kumpulan rock lagenda popular pada era 1990-an itu.
“Akhirnya anak arwah, Syafiq Farhain bersama Iklim. Tahniah,” komen wargamaya.
“Dah kena sangat vokal Syafiq ni dengan bapa dia, arwah Saleem. Semoga Iklim kembali bersinar,” tulis netizen.
“Ambil sajalah anak arwah, Syafiq ni sebagai vokalis sebab suara dia pun hampir sama dengan bapanya. Al-Fatihah buat arwah Saleem,” kata seorang warganet.
Syafiq yang kini bapa seorang anak perempuan, menceburi karier nyanyian secara serius sekitar 2016 dan pernah popular dengan lagu Sayang Maafkan Aku, termasuk meraih gelaran naib juara program Big Stage musim pertama pada 2018.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.