Perilaku ibu bapa atau penjaga seperti menolak kewujudan anak dalam keluarga, tidak mengambil berat, mengasingkan anak dan sebagainya merupakan contoh-contoh penderaan emosi yang dilakukan dengan sengaja mahupun tanpa disedari.
Anak-anak yang mengalami kematian ibubapa, anak-anak perceraian, anak-anak dalam perkahwinan ibu atau bapa bersama pasangan baharu mereka kerap mengalami situasi ini.
Umum memahami bahawa walau bagaimana keadaan dan perilaku ibu bapa, anak-anak wajib memuliakan mereka sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Luqman ayat 14 yang bermaksud:
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu”.
Akan tetapi amatlah malang apabila kedudukan ini disalah guna oleh ibu bapa dengan melakukan pelbagai penderaan terhadap anak-anak.
Kasih sayang tanpa asas amat sukar dipaksa ke atas manusia seperti sukarnya seorang anak yang dibuang, diabai, disisih, didera sepanjang hidup mereka sehingga dewasa untuk menyayangi insan yang tidak menyayangi mereka.
Apatah lagi dengan didikan agama yang kurang sempurna dari ibu bapa, bagaimana anak-anak ini memahami hubungan istimewa di antara anak dan ibu bapa sebagaimana yang dituntut dalam agama.
“Tiga hari selepas saya lahir, saya diberi kepada datuk dan nenek untuk dijaga. Saya anak yang tidak diinginkan.”
Berbahas soal ini, demikian kata penyanyi Datuk Zainal Abidin sewaktu berkongsi kepayahan hidupnya sewaktu kecil apabila membesar dalam serba kekurangan.
Ujar penyanyi berusia 65 tahun itu, menjalani kehidupan ketika zaman kanak-kanak tanpa dibesarkan oleh orang tua sendiri, menjadi antara fasa ‘hitam’ yang pernah dilaluinya sewaktu masih kecil.
Lebih memeritkan apabila kepayahan yang dilaluinya itu, sedikit sebanyak telah meninggalkan kesan terhadap fizikal dan mentalnya, lebih-lebih lagi selepas kematian datuk dan neneknya ketika dia berusia lapan tahun.
“Saya dijaga oleh datuk dan nenek sejak bayi sehingga mereka meninggal dunia sewaktu saya berusia lapan tahun. Selepas itu saya berpindah dari satu keluarga ke satu keluarga yang lain.
“Saya jadi seorang kanak-kanak yang terkesan dari segi mental dan fizikal,” katanya.
Tambah anak jati kelahiran Johor Bahru, Johor itu lagi, kehidupan susah yang dilalui turut menuntutnya untuk bekerja pada usia kanak-kanak apabila terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk mencari rezeki.
“Kehidupan saya sangat sukar ketika itu. Saya bekerja di jalanan dengan menjual ais kacang dan adakalanya bermain muzik dengan menggunakan kotak dan bangku sebab saya tiada duit.
“Saya minat dalam bidang muzik kerana datuk dan nenek saya adalah seorang pemuzik dan penyanyi ketika saya membesar dengan mereka.
“Pernah juga saya bekerja sebagai buruh binaan dan menjadi tukang basuh pinggan untuk meneruskan kehidupan ketika itu,” ujarnya.
Kata pelantun lagu Hijau itu lagi, dia terpanggil untuk berkongsi pengalaman hidupnya di hadapan kira-kira 500 penonton, termasuk dalam kalangan penuntut dari beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) bagi menyuntik semangat mereka dalam menempuhi cabaran hidup.
“Anda semua bertuah dapat belajar di universiti, mendapat sokongan kerajaan dan paling utama, sokongan keluarga. Industri muzik ini sebenarnya boleh menjana pendapatan,” katanya.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.