Tragedi kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak nyata menyentap emosi rakyat Malaysia, termasuk penyanyi dan pelakon versatil, Alif Satar. Meskipun bukan kali pertama kemalangan bas dilaporkan, insiden membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali ini nyata memberi kesan yang luar biasa kepada dirinya secara peribadi.
Dalam satu luahan di aplikasi Threads, Alif, 35, mengakui dia sendiri tidak pasti mengapa hatinya begitu terganggu dengan insiden tersebut. Namun, jelas dari nada tulisannya bahawa tragedi itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam.
Menurut Alif, dia melihat ada pola yang berulang bas dipandu laju, memotong di kawasan selekoh dan dalam keadaan yang tidak sesuai, seperti waktu malam dan gelap gelita. Tanpa menyalahkan mana-mana pihak secara khusus, pelantun lagu Anugerah Terindah itu tampil dengan satu persoalan besar yang terus bermain di fikiran banyak pihak juga: apakah langkah terbaik untuk mengelakkan tragedi seperti ini daripada terus berlaku?
Pertanyaan jujur itu membuka ruang perbincangan yang sangat penting di ruang komen hantarannya. Ramai pengikut tampil berkongsi pandangan dan cadangan. Ada yang menyarankan pendekatan tegas seperti yang digunakan oleh syarikat minyak gergasi seperti Petronas dan Shell dalam pengurusan lori tangki mereka yang sangat ketat dari aspek keselamatan dan kepatuhan laluan.
Malah ada yang mencadangkan agar bas diwajibkan dipasang sistem penggera atau siren amaran yang akan berbunyi kuat jika kenderaan melebihi kelajuan 90 kilometer sejam. Bagi mereka, bunyi tersebut boleh memberi kesedaran serta merta kepada pemandu untuk memperlahankan kenderaan.
Lebih menarik, ada juga netizen yang mengambil contoh dari negara jiran, Singapura, yang memasang sistem penghadang bergolek atau rolling guardrails di selekoh tajam serta lokasi yang kerap berlaku tumpahan minyak. Teknologi ini bukan sahaja mengurangkan impak jika berlaku kemalangan, tetapi juga menjadi bentuk perlindungan tambahan yang mampu menyelamatkan nyawa.
Kemalangan yang berlaku awal pagi semalam membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus mereka di Tanjong Malim. Bas berkenaan dipercayai bertembung dengan sebuah Perodua Alza, mengakibatkan 15 nyawa terkorban, sementara beberapa yang lain kini dalam keadaan kritikal di Hospital Gerik. Peristiwa tragis ini bukan sekadar angka pada laporan berita, tetapi kehilangan besar buat keluarga, rakan-rakan serta institusi pengajian tinggi itu sendiri.
Luahan Alif Satar hadir sebagai suara masyarakat yang semakin letih dengan berita-berita kemalangan bas yang saban tahun berulang dengan pola hampir sama. Ia menunjukkan keperluan mendesak untuk satu anjakan dasar, pemantauan, dan teknologi dalam pengurusan keselamatan pengangkutan awam, sebelum lebih banyak nyawa terkorban tanpa sempat diberi peluang kedua.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.