Penyanyi Ina Naim tampil tenang namun tegas membidas komen biadab seorang individu yang memperlekehkan bentuk fizikal mulutnya. Dalam hantaran balas yang penuh makna, Ina atau nama penuhnya Nordiana Mohd. Naim, 40, tidak gentar menghadapi cercaan terhadap kekurangan dirinya, sebaliknya menzahirkan rasa syukur dan keinsafan atas setiap ketentuan Ilahi. Menurutnya, mulut yang kelihatan senget bukan satu kekurangan andai ia digunakan untuk kebaikan, malah menjadi pelindung daripada sifat angkuh.
Ina menegaskan bahawa kecacatan fizikal bukan penghalang untuk menjadi hamba Allah yang taat. Katanya, “Memang mulut saya senget, kenapa ada yang tidak berpuas hati? Mulut senget tidak mengapa asalkan mulut ini sentiasa berzikir dan ingat Tuhan.” Ujarnya lagi, dia percaya bahawa setiap manusia pasti diciptakan dengan kelemahan tersendiri sebagai peringatan untuk tidak terjebak dengan rasa riak dan sombong. Kelemahan itulah yang menjadikan dirinya lebih dekat kepada Tuhan.
Meskipun menerima komen yang menjelikkan, Ina tetap memilih untuk memaafkan individu terbabit. Namun begitu, dia sempat menyampaikan nasihat agar lebih ramai sedar pentingnya menjaga adab terhadap ciptaan Allah. “Saya maafkan dia, tetapi saya mahu bagi sedikit nasihat kepadanya. Terimalah apa yang Allah bagi. Nanti di syurga, mintalah segala kecantikan. Di dunia ini, jangan hina orang dan bersyukur dengan apa yang Allah telah kurniakan,” katanya penuh tenang namun sarat dengan sindiran yang menyentap.
Komen berunsur body-shaming terhadap Ina ternyata mengundang simpati netizen yang kagum dengan cara penyanyi itu menangani situasi. Ina sebelum ini hidup bahagia bersama suami, Allahyarham Mohd. Suhaimi Saad, sebelum pemergian bekas anggota kumpulan In-Team itu pada 15 November tahun lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru. Mereka mendirikan rumah tangga pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Keteguhan Ina dalam menempuh ujian demi ujian jelas membuktikan bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada rupa paras, tetapi pada hati yang sentiasa reda dan bersyukur. Dalam dunia yang kian rakus menjadikan kecantikan sebagai ukuran utama, Ina tampil sebagai suara waras yang mengingatkan manusia untuk lebih menghargai nilai sebenar ciptaan Tuhan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.