Waktu kami menerima jemputan daripada AirAsia X dan Tourism New South Wales untuk menyertai Vivid Sydney 2025, kami sangat teruja. Siapa tak suka tengok bandar Sydney berkilau dengan cahaya seni yang luar biasa? Tapi dalam sibuk menikmati Vivid, kami tak lupa pada permintaan ramai pembaca Murai Malaysia.
Ramai yang tanya, “Kalau ke Sydney, mana tempat best untuk pelancong Muslim?”
Jadi… kami pun ambil peluang ini untuk singgah ke Lakemba, sebuah kawasan yang sering disebut-sebut dalam komuniti Muslim, tapi mungkin belum ramai yang tahu betapa menariknya ia bila dilihat sendiri, depan mata.

Lakemba: Campuran Budaya dan Aroma Makanan Halal
Sejujurnya, bila sampai di Lakemba, kami rasa seperti pulang ke satu komuniti yang kita kenal. Walaupun ini kali pertama menjejak kaki di sini. Kawasannya tenang tapi hidup. Di kiri kanan jalan, anda akan nampak kedai runcit halal, restoran Timur Tengah, manisan Bangladesh dan macam-macam lagi.
Sambil berjalan di Haldon Street, terasa macam sedang berada di persimpangan budaya ada pengaruh Lubnan, Bangladesh, Pakistan dan juga Indonesia. Paling best? Hampir semua makanan di sini halal dan mudah didapati. Tak perlu ragu-ragu atau cari-cari logo.
Masjid Lakemba: Simbol Tenang di Tengah Komuniti
Di tengah-tengah kawasan ini berdiri Masjid Ali Ben Abi Taleb, atau lebih dikenali sebagai Masjid Lakemba. Reka bentuknya tak terlalu gah dari luar, tapi dalamnya lapang dan tenang. Ada ruang solat wanita yang selesa, dengan karpet ungu yang tersusun rapi.
Kami tak buat sebarang janji temu, tapi bila masuk dengan sopan dan hormat, staf di masjid amat terbuka. Di sini, pelancong Muslim tak rasa asing. Malah, ramai wanita yang berpakaian sopan dan bertudung berkata mereka lebih selesa berada di Lakemba berbanding kawasan lain di Sydney.
Nak Datang Sini? Ini Cara Paling Mudah Sekarang
Sebelum ini, anda boleh naik tren T3 Bankstown Line terus ke Stesen Lakemba. Tapi sejak September 2024, laluan ini ditutup buat sementara untuk kerja naik taraf Metro.
Jangan risau berikut antara cara paling mudah ke sini:
1. Naik Tren ke Sydenham, Sambung Bas Percuma
Naik tren dari Central Station ke Sydenham Station. Dari situ, ada bas percuma SW2 terus ke Haldon Street, Lakemba. Untuk pulang, ambil SW1 (juga percuma) Kedua-dua bas ambil masa sekitar 30 minit, dan sangat selesa untuk pelancong.
2. Memandu Sendiri atau Guna E-hailing
Kalau anda sewa kereta atau guna Uber dari bandar, perjalanan ke Lakemba ambil masa sekitar 25–30 minit. Tempat letak kereta muda, tapi waktu sibuk kena pandai cari.
Satu Persinggahan yang Wajib Kalau Anda Ke Sydney
Lakemba mungkin bukan kawasan glamor macam Bondi atau Darling Harbour, tapi untuk pelancong Muslim yang nak rasa ‘rumah’ di negara orang, ini antara tempat yang patut masuk dalam itinerari.
Kami di Murai Malaysia rasa bersyukur dapat jejak kaki ke sini, atas jemputan rasmi AirAsia X dan Tourism NSW. Tapi yang lebih penting, kami sempat tunaikan permintaan anda yang mahu tahu tempat halal dan mesra Muslim di Sydney.
Insya-Allah, kalau ada peluang lain, kami akan kembali. Tapi kali ini, harap anda pun ikut sama.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.