Bayangkan satu impian kecil dari tanah air, yang kini bergema megah di persada dunia. Hari ini, kita semua ada sebab untuk berasa bangga. AirAsia sekali lagi dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Skytrax World Airline 2025. Dan ini bukan kemenangan biasa. Ini adalah kejayaan kali ke-16 berturut-turut.
Enam belas tahun! Bukan calang-calang pencapaian.
Tapi apa yang lebih menyentuh hati bukanlah trofi atau angka itu sendiri, sebaliknya adalah kata-kata yang datang terus dari hati salah seorang pengasas AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes. Bila beliau berkata:

“Kemenangan ini benar-benar menyentuh hati saya. Kami bermula dengan hanya 200,000 tetamu pada tahun pertama dan kini menyasarkan satu bilion pada tahun ini.”
Kami di MURAI MY pun turut terkesan. Kata-kata ini bukan sekadar ucapan atas pentas. Ini luahan seorang lelaki yang membawa satu mimpi besar sejak dua dekad lalu dan kini melihat mimpi itu bukan sahaja hidup, tapi juga memberi impak kepada berjuta-juta orang.
“Perjalanan ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan para tetamu dan dedikasi luar biasa Allstars. Anugerah ini milik mereka. Terima kasih kerana terus percaya pada impian kami.”
Bayangkan… satu bilion tetamu. Satu bilion impian. Satu bilion peluang.
Dari Asean Ke Dunia
AirAsia hari ini bukan sekadar tentang tambang murah. Ia adalah tentang kesalinghubungan. Tentang membuka laluan baharu yang dulunya orang tidak pandang. Tentang memastikan bukan saja kota besar dapat akses penerbangan, tapi juga kawasan yang kurang diberi perhatian.
Contohnya, laluan seperti Kuala Lumpur ke Labuan Bajo, Bangkok ke Narathiwat, atau Jakarta ke Silangit. Nama-nama ini mungkin asing bagi sesetengah orang, tapi inilah lokasi yang kini menjadi pintu masuk baharu untuk pelancong, usahawan dan komuniti tempatan.
Dengan lebih 130 destinasi aktif dan operasi dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja, AirAsia terus meluaskan jaringan dan membuka lebih banyak peluang untuk orang ramai merasai dunia.
Impian Yang Tak Pernah Luntur
Dalam satu majlis penuh berprestij di Paris Air Show 2025, Datuk Kamarudin Meranun, seorang lagi pengasas AirAsia, turut berkongsi rasa syukur dan semangat.
“Kami bermula dengan satu impian. Dan hari ini, setelah 16 tahun, pengiktirafan ini masih bermakna. Kami tetap setia dengan misi untuk menjadikan penerbangan berpatutan untuk semua.”
Dan yang menariknya, AirAsia tidak berhenti di sini. Mereka kini merancang untuk memperluas operasi ke Asia Tengah dan Timur Tengah. Visi mereka cukup jelas, menjadi rangkaian syarikat penerbangan tambang rendah global yang pertama.
Bukan Sekadar Tiket Murah
Kenapa ramai orang masih pilih AirAsia walaupun banyak pilihan lain? Jawapannya mudah… pengalaman. Segalanya dirancang untuk buat kita rasa selesa, selamat dan dihargai. Tak hairanlah, selepas hampir satu bilion tetamu diterbangkan, jenama ini terus kekal relevan dan disayangi.
Malah, satu fakta yang mungkin anda tak tahu, AirAsia kini diiktiraf sebagai jenama syarikat penerbangan ke-24 paling bernilai di dunia, dengan nilai mencecah USD1.93 bilion. Itu bukan angka kecil.
Anugerah Yang Penuh Makna
Anugerah Skytrax ini bukan sekadar simbol atau piala yang digantung di dinding. Ia datang daripada suara orang ramai, lebih 22 juta penyertaan dari lebih 100 negara. Dan semua ini dilakukan secara bebas, tanpa bayaran dari mana-mana syarikat penerbangan.
Edward Plaisted, Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax, sendiri mengakui:
“Kejayaan AirAsia untuk kali ke-16 ini membuktikan komitmen mereka dalam menawarkan perjalanan yang berkualiti dan mampu milik.”
Kami di MURAI MY percaya, bila sesuatu dibina dengan hati, ia akan sampai juga ke hati orang lain. Begitulah AirAsia, dari satu pesawat, kepada satu impian, dan kini menjadi kebanggaan serantau.
Tahniah AirAsia. Terus terbang, terus menginspirasi. Impian kita masih belum sampai ke puncak dan kita takkan berhenti di sini.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.