Rakan baiknya, Muhammad Sajjad atau lebih dikenali sebagai Sajat dikatakan bakal menunaikan umrah semula dengan penampilan yang sempurna sebagai seorang lelaki, telah menarik perhatian ramai termasuk pempengaruh dan usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri. Dalam satu siaran langsung di TikTok, Aliff menasihati orang ramai agar tidak terlalu cepat menghukum tanpa mengetahui niat sebenar individu tersebut.
Menurut Aliff, keputusan Sajat untuk menunaikan umrah adalah hal antara dirinya dan Tuhan, dan sebagai manusia, kita tidak layak menjadi penghukum. Aliff menyeru agar masyarakat lebih bersikap terbuka dan memilih untuk menasihati dengan hikmah berbanding mengecam secara terbuka. Dia turut menasihatkan agar Sajat tidak memuat naik sebarang kandungan ketika berada di Tanah Suci bagi mengelakkan kontroversi yang mungkin menjejaskan ibadahnya.
Aliff yang kini berusia 38 tahun turut mendedahkan bahawa dia masih berhubung rapat dengan Sajat meskipun usahawan kosmetik itu kini bukan lagi warganegara Malaysia. Menurutnya, Sajat sering meluahkan rasa sedih dan kerinduan untuk pulang ke tanah air namun terpaksa menanggung akibat daripada kesilapan lalu. Setiap kali mereka berhubung, Sajat dikatakan tidak dapat menahan air mata apabila mengenangkan kampung halaman yang amat dirindui.
Bagi Aliff, masyarakat tidak sepatutnya memfokuskan hanya kepada kesilapan lalu seseorang. Beliau yakin ada ramai lagi yang melakukan kesalahan lebih besar tetapi tidak dikecam seperti Sajat. Justeru itu, dia merayu agar rakyat Malaysia membantu membuka jalan untuk Sajat kembali ke pangkal jalan dan memberi peluang kedua, terutama jika benar dia ingin memperbaiki diri.
Dalam nada bimbang, Aliff juga menyuarakan kebimbangannya terhadap kemungkinan Sajat lebih hanyut jika terus menetap di luar negara yang lebih terbuka terhadap perlakuan bebas. Beliau menegaskan bahawa sokongan dan doa orang ramai lebih penting dalam proses seseorang menuju perubahan diri yang lebih baik.
Sajat sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila menunaikan umrah pada tahun 2020 dengan berpakaian seperti wanita. Kali ini, niatnya menunaikan umrah dengan penampilan lelaki dilihat sebagai satu langkah besar dalam memperbetul kesilapan lalu. Namun begitu, Aliff berharap masyarakat tidak menjadikan perkara ini sebagai bahan kecaman tetapi sebaliknya mengambil peluang untuk mendoakan yang terbaik buat Sajat dalam usahanya mendekatkan diri kepada Tuhan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.