Kami di MURAI berpeluang hadir ke pelancaran reka bentuk muka terbaharu dari jenama telekung terkenal, Siti Khadijah, yang berlangsung di Locarasa Bamboo Hills hari ini. Suasana majlis cukup tenang dan elegan, dihiasi dengan tetamu berpakaian serba putih, sangat selari dengan aura yang dibawa oleh pelancaran ini. Selepas lebih sedekad, akhirnya Siti Khadijah memperkenalkan Maharani, rekaan muka baharu yang menjadi simbol evolusi dan penghargaan terhadap wanita yang teguh dan anggun.
Rekaan Maharani ini diinspirasikan daripada bentuk “awning” yang menyerupai tiara, memberi gambaran wanita yang memegang identiti dengan yakin. Ia menggabungkan elemen dua rekaan terdahulu, Original (2009) dengan awning keras, dan Harmoni (2016) yang lebih lembut dan selesa. Hasilnya, Maharani bukan sahaja tampil moden dan praktikal, malah masih mengekalkan nilai warisan yang menjadi tunjang jenama sejak 2009.
Sebagai pelengkap, tiga koleksi telekung baharu turut dilancarkan dengan muka Maharani sebagai identiti utama: Broderie Zahara dengan sulaman klasik, Flair Sabira yang flowy dan ringan, serta Modish Maira Midi yang sesuai untuk kegunaan di tanah suci. Kesemuanya direka dengan fokus kepada keselesaan dan cita rasa semasa wanita moden yang tetap mahu kekal sopan dan bergaya.
Majlis turut diserikan dengan persembahan lagu Maharani oleh Faizal Tahir, sebuah lagu khas yang membawa mesej kekuatan dan harga diri wanita, seiring dengan semangat telekung ini. Pengasas Siti Khadijah, Hajah Padzilah Enda, juga sempat berkongsi perjalanan jatuh bangun membina jenama ini di hadapan rakan selebriti seperti Syatilla Melvin, Lisdawati serta tetamu undangan lain. Telekung reka bentuk muka Maharani ini akan mula dijual di platform dalam talian bermula 24 Jun 2025 dan di butik-butik terpilih mulai 26 Jun 2025.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.