Isu video tular memaparkan bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal, tanpa sengaja termakan daging babi sewaktu melancong ke China masih belum reda apabila segelintir netizen terus melemparkan kecaman biadab. Lebih menyedihkan, ada yang sanggup menyamakan wajah Syasya dengan haiwan tersebut sehingga membuatkan penyanyi berusia 24 tahun itu hilang sabar.
Enggan berdiam diri, Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang keterlaluan menghina serta menjatuhkan maruahnya secara terbuka di media sosial.
Menerusi satu hantaran balas di platform media sosial, Syasya meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir individu yang dianggap melampau batas. Katanya, teguran itu boleh sahaja disampaikan secara berhemah tanpa perlu mencaci atau mengaibkan dirinya.
Dia menyeru agar semua pihak lebih bertanggungjawab dalam memberikan pendapat dan tidak menjadikan isu sensitif sebagai bahan jenaka atau penghinaan. “Berhati-hatilah dengan apa yang anda katakan. Saya tak halang kalau ada yang ingin menegur, tapi biarlah beradab. Bukan dengan cara hina orang sampai terguris hati dan harga diri,” katanya tegas.
Insiden tersebut berlaku sewaktu Syasya bersama suami, Nasrullah Mohd. Sapie dan anak mereka bercuti di China, di mana mereka menjamu selera di sebuah restoran yang mempunyai label halal. Namun, tanpa disangka, salah satu hidangan yang disajikan dipercayai mengandungi daging babi.
Menyedari kesilapan itu selepas beberapa ketika, Syasya mengakui terus hilang selera dan trauma dengan kejadian tersebut. Dia juga menjelaskan bahawa mereka sekeluarga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sebelum memilih tempat makan sepanjang percutian itu, sekali gus menafikan dakwaan kononnya dia memakan hidangan tersebut dengan sengaja.
Walaupun terkesan dengan kejadian yang menguji dirinya sebagai seorang Muslimah, Syasya tidak menolak kemungkinan bahawa Allah mahu mengajarnya sesuatu yang lebih besar. Dia sudah pun mengambil iktibar daripada pengalaman itu dan berjanji untuk menjadi insan yang lebih berhati-hati serta mendekatkan diri dengan Tuhan.
Dalam masa sama, dia memohon orang ramai agar tidak terus menghukumnya, sebaliknya mendoakan agar dirinya terus diberikan kekuatan untuk berubah ke arah lebih baik. Namun, buat mereka yang melampaui batas dengan menjadikan wajah dan dirinya sebagai bahan hinaan keterlaluan, Syasya menegaskan akan menggunakan saluran undang-undang sebagai jalan terakhir untuk mempertahankan maruahnya.