Bapa kepada penyanyi Shila Amzah iaitu Datuk ND Lala baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan mengenai hubungannya dengan anak-anak. Pada 2 Ogos yang lalu ND Lala dan bekas isterinya Fauziah Sarman disahkan bercerai. Kata pelakon era 80an ini kepada Harian Metro, dia masih sayangkan anak-anaknya walaupun kini dikatakan hubungan mereka agak dingin.
“Bagi saya, hubungan bersama anak-anak sekarang tiada isu. Sebab mereka tetap kekal sebagai darah daging saya. Mereka itu adalah DNA saya untuk selamanya dan tidak akan pernah berubah.
Tambahnya lagi, dia menganggap apa yang berlaku sebagai ujian dan sentiasa menerimannya dengan redha.
“Saya tahu dengan segala apa ujian yang sudah berlaku ini membawa impak dalam keluarga. Anak-anak juga diuji, kita juga diuji. Apapun, kita kena sentiasa berlapang dada dan doakan yang baik-baik saja.
“Mungkin pandangan kita pada hari ini juga berdasarkan sumber dan maklumat yang diperoleh membentuk pendirian diri apabila terlihat kebenaran itu dari sisi yang lain,” katanya kepada Harian Metro.
Sebelum ini, ND Lala atau nama asalnya Amir Amzah Salleh dilihat meninggalkan pekarangan majlis perkahwinan anaknya, Shila Amzah pada awal Ogos yang lalu. ND Lala meninggalkan majlis adalah bagi mengelak daripada diwawancara pihak media. ND Lala juga tidak menyertai sesi fotografi keluarga.
Walaubagaimanapun, Shila mendedahkan kepada Mstar, dia tidak masuk campur dengan kemelut rumahtangga ibubapanya. Malah katanya, dia tidak berpihak kepada mana-mana dan berharap mereka berdua baik-baik sahaja.
Pasangan ND Lala dan Fauziah dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Shahila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.