Susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan hingga 9 Jun ini, rata-rata netizen berkongsi pendapat mereka sendiri mengenai arahan ini termasuklah mengenai larangan dan kuatkuasa aktiviti ziarah-menziarahi ketika perayaan Aidilfitri kelak.
20 Orang Yang Dimaksudkan Adalah Ahli Keluarga
Dalam pengumuman tersebut, Muhyiddin telah menyatakan hanya 20 orang had maksimum dibenarkan berada dalam satu rumah yang mana kelonggaran diberikan untuk menyambut tiga perayaan sepanjang PKPB, iaitu Aidilfitri, Pesta Keamatan dan Hari Gawai dengan membenarkan aktiviti ziarah jiran terdekat dan keluarga dalam negeri yang sama.
Bagaimanapun, masih ramai yang keliru dengan pengumuman tersebut kerana beranggapan masih boleh ziarah-menziarahi sahabat-sahabat mereka yang berada di dalam negeri yang sama. Menjelaskan lebih lanjut mengenai kekeliruan tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata aktiviti ziarah yang dinyatakan sehingga seramai 20 orang itu hanya melibatkan ahli keluarga terdekat.
Utamakan SOP
Tegasnya lagi, apa yang perlu diutamakan adalah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“20 orang itu adalah ahli keluarga. Kalau 20 orang, contohnya anak, cucu… jumlah ahli keluarga 20 orang. Apa yang pasti, kita kena ikut SOP Kementerian Kesihatan iaitu penjarakkan sosial.
“Kalau dalam apartment, dah kira confined space (ruang sempit), crowded space (ruang yang sesak). Itu dah melanggar SOP Kementerian Kesihatan,”
“Nombor itu adalah ahli keluarga bergantung kepada rumah kita. Kalau apartment kita kecil, kita bukan kata 20 orang, bagaimana kita kena lihat dari segi lawatan dan kedudukan.
“Kita tidak menggalakkan perhimpunan atau pelawat datang ke rumah, tetapi ini adalah ahli keluarga,”katanya pada sidang media, petang Isnin.
Kongsinya lagi, ketika aktiviti ziarah di rumah dalam kalangan ahli keluarga langkah penjarakkan sosial perlu dilakukan termasuklah mengutamakan keselamatan warga emas yang berisiko tinggi dijangkiti wabak COVID-19.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.