Golongan penghafaz al-Quran di Pahang kini berpeluang menerima penghargaan khas apabila permohonan Bantuan Saguhati Hafazan 2026 rasmi dibuka bermula 2 Mac ini.
Inisiatif ini diperkenalkan oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebagai usaha menggalakkan masyarakat negeri tersebut untuk terus menghafaz, memelihara dan menghayati al-Quran.
Bukan sekadar bantuan kewangan, ia juga merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap komitmen serta istiqamah para penghafaz dalam memartabatkan kalam Allah.
Apa Itu Bantuan Saguhati Hafazan?
Bantuan ini disalurkan kepada penghafaz al-Quran melalui kategori Asnaf Fisabilillah dengan syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan oleh pihak MUIP.
Tujuannya jelas menyokong dan menghargai usaha mereka yang bersungguh-sungguh menghafaz sekurang-kurangnya lima juzu’ dan ke atas, bermula dari Juzu’ 1.
Dalam erti kata lain, ini bukan sekadar ganjaran, tetapi simbol sokongan institusi agama negeri terhadap generasi huffaz.
Tarikh Permohonan
Permohonan dibuka:
- 2 Mac 2026 hingga 30 April 2026
Tempoh hampir dua bulan ini memberi ruang secukupnya kepada pemohon untuk menyediakan dokumen dan membuat pendaftaran secara dalam talian.
Kategori Juzu’ Yang Layak
MUIP menetapkan empat kategori hafazan:
- 5 juzu’
- 10 juzu’
- 20 juzu’
- 30 juzu’
Semakin tinggi jumlah hafazan, semakin besar pengiktirafan yang diberikan, tertakluk kepada penilaian dan kelulusan.
Syarat Permohonan
Antara syarat utama yang perlu dipenuhi ialah:
- Bermastautin di Negeri Pahang (alamat MyKad pemohon serta ibu bapa/penjaga di Pahang)
- Telah menghafaz sekurang-kurangnya 5 juzu’ bermula dari Juzu’ 1
- Pemastautin Pahang yang belajar dalam negara juga layak memohon
- Wajib lulus ujian hafazan dalam sesi temuduga bersama panel yang dilantik oleh MUIP
Ini bermakna pemohon perlu benar-benar bersedia dari segi hafazan kerana akan melalui proses penilaian secara rasmi.
Cara Memohon
Permohonan dibuat sepenuhnya secara dalam talian melalui portal rasmi di Zakat4Pengajian
Pemohon perlu mendaftar akaun, mengisi maklumat yang diperlukan serta memuat naik dokumen sokongan secara digital. Tiada penghantaran borang secara manual diterima.
Bagi Murai, inisiatif seperti ini wajar diberi perhatian kerana bukan sahaja mendorong budaya menghafaz al-Quran dalam kalangan anak muda, malah memberi motivasi kepada mereka yang sedang bertungkus-lumus menamatkan hafazan. Buat yang layak, jangan lepaskan peluang. Pastikan hafazan mantap sebelum hadir temuduga, dan lengkapkan dokumen lebih awal.






