Nama penyanyi, Dato’ Aishah sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Selepas hampir empat dekad mewarnai dunia seni suara Malaysia dan antarabangsa,
penyanyi legenda yang terkenal dengan lagu-lagu balada yang malar segar kini hadir menghadiahkan peminat dengan buah tangan terbaharunya berjudul “Taman Keabadian”, sebuah karya penuh penghayatan dan sarat dengan emosi ciptaan komposer berbakat besar, Senna.
Lagu Tentang Kehilangan, kerinduan & Pertemuan Semula
Lagu Taman Keabadian menyentuh tema perpisahan dengan insan-insan yang tersayang – sama ada ibu bapa, keluarga, sahabat mahupun teman seperjuangan yang telah pergi meninggalkan kita.
Dalam bait-bait liriknya terselit rasa kerinduan yang amat mendalam, namun disulami harapan bahawa pertemuan semula akan berlaku… di Taman Keabadian.
“Hanya keyakinan kita akan bertemu semula di negara abadi kelak dapat sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan luka di hati.
Berdoalah dan yakinlah kerana kita juga pasti menyusul dan bertemu semula di sana… di sebuah tempat dinamakan Taman Keabadian,” ujar Dato’ Aishah
Dato’ Aishah menitipkan harapan agar lagu ini bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga memberi kekuatan dan ketenangan kepada mereka yang sedang melalui kehilangan.
“Saya tujukan lagu ini kepada semua yang merindui insan-insan tercinta yang telah pun pergi ke negara abadi. Semoga lagu ini juga dapat menjadi teman dalam setiap doa dan pengubat jiwa buat mereka yang memerlukan semangat.
Ini adalah hadiah saya buat anda semua,” katanya.
@aishahjmm Persembahan perdana lagu terbaru saya di Melodi. Disinilah segalanya bermula apabila kemunculan pertama saya bersama The Fan Club disiarkan di Berita TV3 pada tahun 1988. Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus sejak dahulu hingga ke hari ini. #TamanKeabadian #LaguBaru #MelodiTV3
♬ original sound – Wan Aishah Wan Ariffin – Wan Aishah Wan Ariffin
Dalam usaha menyegarkan semula legasi muziknya, Dato’ Aishah turut aktif di laman Instagram aishahjmm dan TikTok aishahjmm, di mana peminat kini boleh menikmati semula versi baharu dan remastered lagu-lagu malar segar seperti “Janji Manismu”, “Sensation”, “Fatwa Pujangga”, “Don’t Let Me Fall Alone” dan “Syurga Di Telapak Kaki Ibu”.
Single baharu “Taman Keabadian” boleh dilayari di semua digital streaming platform pada 8 Ogos 2025.