Dalam dunia selebriti yang sering dihimpit persoalan peribadi, soal jodoh bukanlah sesuatu yang asing untuk diperkatakan. Namun bagi Nora Danish, perjalanan mencari cinta kini dilihat dari sudut yang jauh lebih tenang dan matang.
MURAI dapati, pelakon jelita ini tidak lagi terburu-buru dalam soal hati. Sebaliknya, dia kini lebih selesa memberi fokus kepada diri sendiri, satu fasa yang dianggap penting walaupun usianya sudah melebihi 40 tahun.
“Sekarang ini saya sedang fokus pada diri sendiri dan masih mencari siapa Nora Danish yang sebenar,” kongsinya jujur.
Dalam nada yang penuh keikhlasan, Nora memberitahu kepada BH Online, mengakui bahawa soal jodoh bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Baginya, segala pertemuan sudah tertulis dan ditentukan oleh Allah sejak awal lagi.
“Sememangnya jodoh dan pertemuan ini di tangan Allah. Saya pula tidak aktif mencari pasangan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada-Nya,” katanya lagi.
Lebih menyentuh hati, Nora berkongsi doa yang sering dipanjatkannya, satu luahan yang cukup dekat dengan perasaan ramai.
“Jika memang ada jodoh saya di dunia, moga dipermudahkan dan didekatkan. Namun, jika tiada jodoh di dunia, mungkin ada jodoh di syurga nanti… maka hilangkanlah rasa rindu untuk bercinta di dunia ini.”
Jelas, fasa kehidupan yang dilalui Nora kini bukan sekadar tentang cinta sesama manusia, tetapi lebih kepada mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Dalam diam, kata-katanya mengingatkan bahawa tidak semua kisah cinta perlu berakhir dengan pasanga, ada juga yang menemukan ketenangan dalam penyerahan.
Mungkin bagi sesetengah orang, menunggu itu satu beban. Tapi bagi Nora, ia adalah satu bentuk kepercayaan. Dan di situlah letaknya keindahan sebenar sebuah jodoh.
Dalam dunia yang serba laju ni, ramai yang rasa perlu “kejar” jodoh sampai lupa untuk kenal diri sendiri dulu. Tapi apa yang dikongsi Nora ini macam satu reminder lembut, kadang-kadang, bila kita berhenti mengejar, di situlah Allah aturkan yang terbaik. Kalau bukan sekarang, mungkin nanti. Kalau bukan di dunia, siapa tahu… ada cerita yang lebih indah menanti di sana.







