Berita baik buat golongan ibu tunggal di Perak apabila kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif khas bagi membantu mereka menambah simpanan persaraan melalui program i‑Suri KWSP.
Inisiatif ini melibatkan pemberian caruman permulaan RM50 secara one-off kepada hampir 2,000 ibu tunggal yang tersenarai dalam sistem eKasih.
Menurut EXCO Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Salbiah Mohamed, langkah tersebut bertujuan membantu golongan ibu tunggal khususnya daripada kategori miskin dan miskin tegar supaya mempunyai perlindungan kewangan pada masa depan. Beliau berkata inisiatif tersebut bermula tahun ini dengan peruntukan khas di bawah portfolio beliau.
“Atas usaha itu, saya mengambil pendekatan memperuntukkan sedikit peruntukan melalui bajet di bawah portfolio saya kepada hampir 2,000 ibu tunggal yang berada dalam senarai e-Kasih, di mana mereka diberikan caruman permulaan untuk pembukaan akaun i-Suri sebanyak RM50” katanya.
“Setidak-tidaknya terutamanya bagi ibu tunggal, sekiranya apa-apa berlaku mereka ada sedikit perlindungan untuk ahli keluarga mereka termasuk perlindungan untuk Khairat Kematian RM2,500,” katanya.

Hampir 2,000 Ibu Tunggal Terima Manfaat
Menurut Salbiah Mohamed, seramai 1,979 ibu tunggal dikenal pasti layak menerima manfaat program ini dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM98,950.
Caruman permulaan tersebut bertujuan membuka akaun i-Suri dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi membolehkan penerima mula mencarum secara sukarela.
Katanya, inisiatif ini penting bagi memastikan golongan ibu tunggal yang bekerja sendiri atau tidak mempunyai pendapatan tetap tetap mempunyai simpanan jangka panjang.
Insentif Tambahan Daripada Kerajaan
Melalui skim i-Suri KWSP, pencarum bukan sahaja boleh menabung untuk masa depan, malah turut menerima insentif khas daripada kerajaan.
Antara manfaat utama program ini ialah:
- Insentif caruman kerajaan sebanyak 50% daripada jumlah simpanan tahunan
- Khairat kematian sehingga RM2,500 kepada waris
- Simpanan persaraan dalam akaun KWSP
- Peluang mencarum secara sukarela mengikut kemampuan
Sebagai contoh, sekiranya seseorang ibu tunggal mencarum RM120 setahun, kerajaan akan menambah RM60 sebagai insentif.
“Andai kata peringkat permulaan ini saya beri RM50, dan setiap bulan mereka buat tambahan sehingga katalah tambahan RM50 lagi, menjadikan sampai hujung tahun caruman mereka ada RM600. Maka mereka akan dapat tambahan RM300 lagi daripada kerajaan,” menurut beliau.

Peluang Menjamin Masa Depan
Tambah beliau, langkah ini juga bertujuan memberi peluang kepada golongan ibu tunggal yang bekerja sendiri untuk menikmati manfaat simpanan persaraan seperti pekerja formal.
Dengan adanya simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, mereka boleh membina perlindungan kewangan yang lebih stabil untuk masa depan serta memberi perlindungan kepada ahli keluarga sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Saarani Mohamad pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa peringkat negeri yang berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Apa Itu Program i-Suri KWSP?
Program i-Suri diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi memberi peluang kepada golongan suri rumah termasuk ibu tunggal untuk mencarum secara sukarela.
Program ini terbuka kepada wanita yang berdaftar dalam sistem eKasih dan tidak mempunyai pendapatan tetap atau bekerja sendiri.
Melalui skim ini, kerajaan menyediakan insentif tambahan bagi menggalakkan golongan suri rumah mula menyimpan untuk masa depan dan persaraan.
@ecentral.my Suri rumah boleh dapat insentif RM300 setahun bila mencarum di i-Suri KWSP. Jom daftar sekarang! Ini 3 cara daftar KWSP i-Suri. #isuri #kwspisuri #surirumah #surirumahsepenuhmasa #bantuansurirumah #kwsp
Bagi Murai, langkah kerajaan negeri membantu ibu tunggal melalui program seperti ini memang wajar dipuji. Ramai ibu tunggal terpaksa bekerja keras membesarkan anak-anak dan pada masa sama memikirkan soal kewangan masa depan. Melalui program i-Suri, sekurang-kurangnya mereka mempunyai sedikit simpanan dan perlindungan untuk hari tua nanti.






